Site icon TechNave BM

Kerajaan mahu 50% kawasan luar bandar dapat liputan 5G pada 2024

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan merancang untuk menyediakan perkhidmatan internet 5G berkelajuan tinggi kepada sekurang-kurangnya 50 peratus daripada seluruh kawasan luar bandar dalam negara.

Sasaran tersebut dirancang untuk ditepati pada pertengahan 2024. Menjelang akhir tahun 2024 pula, beliau berkata peratusan tersebut akan meningkat kepada 85 peratus, manakala baki 15 peratus pula mungkin terdiri daripada kawasan pergunungan yang sukar untuk membina liputan 5G.

Beliau yang turut bertugas sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya dan Kementarian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengenal pasti kawasan-kawasan Orang Asli yang akan dilengkapkan dengan peranti satelit Starlink untuk menyediakan perkhidmatan internet di situ.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat luar bandar juga mempunyai hak untuk perkhidmatan internet 5G, malah mereka sepatutnya tidak perlu melakukan tindakan yang terdesak seperti memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet.

Pada awal bulan ini, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) YB Fahmi Fadzil berkata kira-kira 70.2 peratus daripada kawasan berpenduduk di Malaysia telah pun mempunyai rangkaian 5G, namun beliau tidak memperincikan peratusan untuk kawasan luar bandar. Untuk peranti Starlink pula, 10 unit peranti tersebut telah pun dipasang di pelbagai kawasan luar bandar.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version