Site icon TechNave BM

Kini HONOR pula mungkin lancarkan telefon lipat, dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 1

Setakat ini hanya sejumlah kecil syarikat teknologi telah melancarkan telefon lipat iaitu Samsung, HUAWEI, Xiaomi dan terbaru adalah OPPO yang baru sahaja mengumumkan OPPO Find N. Kini satu lagi jenama dikhabar akan memperkenalkan telefon lipat pertama mereka iaitu HONOR.

Menurut pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station, HONOR bakal melancarkan sebuah telefon pintar lipat yang dikuasakan dengan cipset Snapdragon 8 Gen 1 pada bulan Januari 2022. Ia akan dijual pada harga bermula CNY10,000 (~RM6,615).

Selain itu, beliau turut berkata HONOR akan melancarkan sebuah telefon yang dilengkapi sebuah lagi cipset andalan, MediaTek Dimensity 9000, namun telefon lipat yang dilengkapi Snapdragon 8 Gen 1 akan diutamakan terlebih dahulu.

Daripada segi reka bentuk, ia mungkin menyerupai Samsung Galaxy Z Fold3 atau OPPO Find N yang mempunyai engsel menegak, bukannya engsel mendatar seperti Samsung Galaxy Z Flip3.

Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 dan MediaTek Dimensity 9000 adalah dua cipset telefon andalan yang baru dilancarkan pada bulan ini dan kedua-duanya menjanjikan prestasi terpantas, namun MediaTek mengatakan cipset Dimensity itu adalah lebih pantas daripada Snapdragon yang setaraf.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version