Site icon TechNave BM

KTM Komuter akan terima pembayaran melalui Apple Pay dan Samsung Pay pada awal 2024

Sebelum ini, kami melaporkan bahawa sistem pembayaran terbuka kini beroperasi di stesen KTM Komuter dengan pembayaran melalui MyDebit yang memerlukan ‘cagaran’ sementara RM30 dan akan dikembalikan selepas menolak caj perjalanan.

Kini, KTMB telah mengumumkan butiran lanjut tentang rancangannya untuk menambah baik sistem termasuk sokongan untuk Apple Pay dan Samsung Pay. Dalam satu kenyataan , KTMB berkata pihaknya komited untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan memperluaskan inisiatif sistem pembayaran tanpa tunai dengan memudahkan pembelian tiket untuk penumpang.

Tambanya, pembaca kad berbilang bayaran di Automated Control Gates (ACG) memerlukan sambungan kepada penyedia perkhidmatan pembayaran. Oleh itu, setakat ini, pintu baharu menerima kad Touch ‘n Go, MyDebit dan kad Komlink yang membenarkan diskaun 50% untuk warga emas, orang kurang upaya dan pelajar sekolah.

Bagi pembayaran kad debit, ia kini hanya terhad kepada MyDebit yang dikeluarkan oleh bank tempatan tetapi KTMB sedang berusaha ke arah meluaskan penerimaan termasuk daripada kad bank asing. Menjelang akhir bulan ini, KTMB akan menerima pembayaran kad kredit walaupun terdapat ‘cagaran’ RM30 yang masih kekal untuk kad kredit dan debit.

Sekiranya penumpang mendapati jumlah yang dipegang tidak mengikut keselesaan mereka, KTMB menasihatkan penumpang supaya memilih kaedah pembayaran lain. Akhir sekali, KTMB mengesahkan bahawa Apple Pay dan Samsung Pay akan disokong pada awal 2024 di semua stesen KTM. Namun, tiada tarikh tepat diberikan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.

Sumber: FB KTM

Exit mobile version