Site icon TechNave BM

Laman sokongan Samsung Galaxy S21 FE 5G dikesan, mungkin dilancar pada bulan ini

Telefon pintar andalan Samsung Galaxy S21 Fan Edition (FE) 5G adalah antara telefon yang sangat dinanti-nanti oleh peminat Samsung pada tahun ini, namun kewujudan telefon tersebut masih lagi menjadi tanda tanya. Kini, sebuah laman sokongan (support website) untuk Galaxy S21 FE 5G telah dikesan dalam laman web Samsung Jerman.

Laman sokongan tersebut memaparkan nombor model SM-G990B/DS iaitu nombor yang merujuk kepada Galaxy S21 FE 5G. Sebelum ini, nombor tersebut telah pun tersenarai dalam pengiktirafan Geekbench, Federal Communications Commission (FCC) Amerika Syarikat dan China Compulsory Certificate (3C) China.

Sungguh pun begitu, laman web Samsung Jerman itu tidak menyenaraikan sebarang spesifikasi untuk Galaxy S21 FE 5G. Ia dijangka akan dilengkapi spesifikasi andalan seperti cipset Snapdragon 888 atau Exynos 2100 serta skrin AMOLED 6.5 inci dengan kadar 120Hz.

Sebagai rujukan, Samsung Galaxy S20 FE 5G telah dilancar pada September 2020, di mana ia dilengkapi spesifikasi serupa dengan telefon lain dalam siri Galaxy S20 kecuali daripada segi rekaan luaran, di mana Galaxy S20 FE 5G dibuat dengan badan plastik untuk merendahkan harganya.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Galaxy S21 FE 5G dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Technik News

Exit mobile version