NordPass kembali dengan edisi 2025 bagi laporan “Top 200 Most Common Passwords” dan hasilnya sekali lagi menunjukkan tabiat penggunaan kata laluan global masih berada pada tahap membimbangkan. Kata laluan seperti “123456” dan “admin” terus mendominasi senarai sebagai pilihan paling kerap digunakan di seluruh dunia walaupun diketahui sangat berisiko.
Menurut NordPass, pengguna daripada semua peringkat umur masih memilih gabungan mudah seperti “123456” dan “12345”. Laporan itu juga mendapati peningkatan penggunaan simbol dengan 32 daripada 200 kata laluan paling lazim kini mengandungi aksara khas seperti “P@ssw0rd”, “Admin@123” dan “Abcd@1234”.
Corak penggunaan turut berbeza mengikut usia yang mana golongan lebih berumur cenderung menggunakan nama dalam kata laluan manakala pengguna muda lebih gemar kombinasi nombor atau perkataan meme seperti “skibidi”. Trend ini turut ketara di Malaysia.
Berdasarkan data NordPass, 15 kata laluan paling biasa digunakan rakyat Malaysia ialah “123456”, diikuti “111111”, “qwerty123”, “admin”, “12345678” dan kemunculan baharu, “Aaa111”. Laporan tersebut mendedahkan “123456” sahaja digunakan sebanyak 221,833 kali oleh pengguna tempatan.
Penggunaan kata laluan mudah diteka seperti ini meningkatkan risiko kecurian maklumat, penipuan dan serangan phishing. Oleh itu, pengguna digalakkan beralih kepada kata laluan lebih kukuh, unik dan panjang seperti melebihi 12 aksara dengan gabungan huruf besar, huruf kecil, nombor serta simbol.
Dalam masa sama, penggunaan pengurus kata laluan atau pengaktifan pengesahan dua faktor (2FA) mampu memberikan lapisan keselamatan tambahan bagi melindungi akaun dalam persekitaran digital yang semakin berisiko. Kongsi pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

