Site icon TechNave BM

Lenovo Legion 2 Pro akan dilengkapi bateri yang lebih besar berbanding Legion Phone Duel

Telefon pintar gaming kedua daripada Lenovo yang bernama Legion 2 Pro akan dilancar pada 8 April di China dan syarikat tersebut telah pun mendedahkan beberapa spesifikasi awal untuk telefon itu seperti skrinnya. Kini, Lenovo mengesahkan bahawa Legion 2 Pro akan dilengkapi bateri yang lebih besar berbanding telefon tahun lepas Lenovo Legion Phone Duel.

Dalam sebuah kiriman di Weibo, Lenovo memaklumkan bahawa Legion 2 Pro akan dilengkapi bateri 5,500mAh iaitu lebih besar sebanyak 10% berbanding telefon tahun lepas yang mempunyai 5,000mAh sahaja. Daripada segi pengecasan, kadarnya kekal sama dengan telefon tahun lepas iaitu 90W.

Pada waktu artikel ditulis, spesifikasi Legion 2 Pro yang sudah disahkan adalah skrin Samsung AMOLED E4 berukuran 6.92 inci dengan kadar segar semula 144Hz dan sistem penyejukan yang menggunakan dua kipas. Spesifikasi lain yang dijangkakan untuk telefon ini adalah cipset Snapdragon 888 dan RAM 16GB.

Lenovo Legion Phone Duel menampilkan mekanisme kamera swafoto di sisi yang dikhaskan untuk kegunaan siaran langsung (live streaming), jadi kami jangkakan fungsi tersebut untuk kekal pada Legion 2 Pro. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version