fbpx
More

    Ulasan Lenovo Legion Phone Duel – Telefon “gaming” terbaik untuk “streaming”!

    Lenovo Legion merupakan antara jenama gaming PC yang paling popular di seluruh dunia, terutamanya dengan komputer ribanya yang laris dijual. Kini Lenovo ingin mengembangkan sayap jenama tersebut ke dalam industri telefon pintar pula dengan pelancaran Lenovo Legion Phone Duel pada Julai lalu.

    Telefon ini menghadapi saingan yang sengit di pasaran, terutamanya dengan kewujudan pelbagai siri telefon gaming lain yang lebih popular seperti ASUS ROG Phone dan BlackShark. Jadi adakah Lenovo Legion Phone Duel ini mempunyai daya tarikan yang cukup untuk menawan hati pelanggan atau adakah ia sekadar satu lagi telefon yang dilengkapi spesifikasi andalan (flagship)? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Rekaan – Nampak garang!

    Dari jauh memang boleh nampak rekaan luaran Legion Phone Duel ini adalah sebuah telefon gaming, dengan rekaannya yang lengkap dengan pelbagai corak garisan di belakang telefon. Warna yang saya dapat ialah merah Vengeance Red, namun ia bukanlah merah sepenuhnya kerana ia lebih kepada gabungan warna hitam dan merah.

    Terdapat corak ‘X’ yang berada di tengah-tengah telefon dan akan berubah warna jika anda menyengetkan telefon serta penjenamaan Legion dan logo yang akan menyala sebaik sahaja anda memainkan game. Selain itu, terdapat dua bahagian yang berwarna hitam dengan permukaan menggerutu yang bertujuan untuk membantu anda memegang telefon sewaktu bermain game, namun saya merasakan telefon tersebut masih licin untuk dipegang dan permukaan menggerutu tersebut tidak terlalu membantu dalam memegang telefon ini dengan lebih erat.

    Tidak seperti kebanyakan telefon yang dilancar pada tahun ini, Legion Phone Duel tidak mempunyai bonggol kamera. Sebaliknya, dua kamera yang terdapat di belakang telefon diletakkan rata di bahagian tengah-tengah tanpa sebarang benjolan.

    Salah satu daripada pelbagai ciri unik yang terdapat dalam telefon ini ialah kehadiran dua port USB-C yang berada di bahagian bawah dan sisi kiri telefon. Untuk mengecas atau memindahkan fail ke komputer, anda boleh pilih mana-mana port mengikut kesenangan anda. Tentunya port USB-C yang berada di bahagian sisi amat berguna sewaktu gaming kerana tangan kanan anda tidak dihalang oleh kabel pengecasan. Jika anda inginkan pengecasan yang sangat pantas, boleh gunakan dua-dua port serentak.

    Ruang dwi-kad SIM berada di bahagian bawah bersebelahan dengan port USB-C, butang kawalan audio berada di bahagian sisi kiri bersebelahan dengan port USB-C kedua, manakala butang kuasa pula berada di bahagian sisi kanan, di atas modul kamera swafoto pop-up. Perlu diingati bahawa telefon ini tidak mempunyai bicu audio 3.5mm.

    Rekaan yang paling unik tentang telefon ini pastinya adalah kamera swafoto pop-up yang berada di bahagian sisi kanan. Ciri inilah yang diiklankan secara meluas oleh Lenovo bagi menampakkan keunikan telefon di mana kamera swafoto ini dikhaskan untuk kegunaan siaran langsung (live streaming). Rekaan pop-up juga bermakna skrin telefon tidak diganggu oleh takuk (notch) atau pun lubang punch-hole yang banyak berada dalam telefon lain bagi menempatkan kamera swafoto.

    Seperti yang boleh dijangkakan untuk telefon kelas ini, ia dilengkapi dwi-pembesar suara stereo yang berada di bahagian atas dan bawah skrin dan dihalakan kepada pengguna untuk mutu audio yang lebih jelas.

    Spesifikasi – Tiada kompromi untuk prestasi gaming terbaik

    Slogan “Stylish Outside, Savage Inside” yang tertera pada bahagian belakang telefon ini memang bukan sekadar omong kosong; Lenovo Legion Phone Duel dilengkapi spesifikasi andalan dalam semua aspek bagi menyediakan pengalaman gaming yang lancar pada setiap masa, walaupun jika game dimainkan dalam masa yang berpanjangan. Teliti sendiri spesifikasinya di bawah:

    • Cipset Snapdragon 865 Plus
    • Skrin AMOLED 6.59 inci dengan resolusi Full HD+, kadar segar semula 144Hz, kadar bacaan sentuhan 240Hz dan sokongan HDR10+
    • RAM LPDDR5 12GB atau 16GB
    • Storan UFS 3.1 256GB atau 512GB
    • Kamera utama 64MP + kamera ultra-lebar 16MP
    • Kamera swafoto pop-up di sisi 20MP
    • Rakaman video 4K 30fps dengan penstabilan EIS
    • Bateri 2×2,500mAh
    • Dua port USB-C
    • Penyejukan dwi-paip haba cecair (dual-liquid heat pipes)
    • Pengecasan pantas sehingga 90W
    • Pembesar suara stereo
    • Empat mikrofon dengan teknologi Qualcomm® Noise Reduction Technology
    • Pengimbas cap jari di bawah skrin
    • Terdapat dalam warna merah Vengeance Red dan biru Blazing Blue
    Kawalan untuk kadar segar semula (kiri) dan kawalan warna lampu di belakang telefon

    Lenovo Legion Phone Duel dilengkapi ciri-ciri yang boleh dimanfaatkan sewaktu gaming, seperti butang ultrasonik di bahagian bucu dan getaran haptik yang kuat seperti dalam controller konsol.

    Legion OS yang terdapat dalam telefon ini berfungsi dengan lancar dan nampak kemas, dengan rekaan logo aplikasi berbentuk petak. Telefon ini juga tidak didatangkan dengan aplikasi remeh yang banyak, sesuatu yang pasti dihargai oleh para pengguna.

    Satu perisian yang menarik dalam telefon ini ialah Legion Realm, di mana ia menampilkan pelbagai fungsi untuk meningkatkan pengalaman gaming anda, seperti fungsi Rampage untuk menaikkan prestasi CPU dan GPU, fungsi rakaman skrin, siaran langsung dan mematikan panggilan serta mesej. Anda juga boleh mengawal warna cahaya yang dijana oleh logo Legion di belakang telefon jika anda ingin berlagak kepada kawan-kawan anda.

    Jika ada pun kekurangan pada spesifikasi telefon ini, ia adalah pada kameranya yang hanya mempunyai dua lensa. Walau bagaimanapun memandangkan telefon ini lebih difokuskan untuk kegunaan gaming, kekurangan ini adalah sesuatu yang boleh diterima.

    Prestasi – Bukan gaming shaja, streaming pun mantap!

    Dengan mutu spesifikasi yang telah kami bentangkan tadi, tentulah anda jangkakan prestasi yang terbaik daripada telefon ini. Berikut adalah ujian penanda aras yang telah kami lakukan untuk Legion Phone Duel dalam 3D Mark dan Geekbench:

    Keputusan ujian penanda aras 3DMark (kiri) dan GeekBench, Lenovo Legion Phone Duel berjaya meraih mata yang tinggi

    Ternyata telefon ini mampu menjana prestasi yang lancar untuk kegunaan sewaktu gaming, dengan markah penanda arasnya yang tinggi. Telefon ini tiada masalah untuk memainkan semua game popular dalam tetapan grafik tertinggi dan akan menjana kadar bingkai (frame rate) yang konsisten pada setiap masa walaupun jika bermain dengan lama. Walau bagaimanapun, kadar bingkai masih bergantung kepada game yang dimainkan, jadi walaupun anda telah menetapkan kadar segar semula skrin telefon ke 144Hz, sesetengah game mungkin hanya akan menjana 30fps atau 60fps sahaja kerana game tersebut tidak menyokong kadar yang lebih tinggi.

    Prestasi yang kekal lancar ini juga disumbangkan oleh penyejukan cecair yang berfungsi dengan sangat baik. Sepanjang bermain game selama berjam-jam, telefon ini tidak pernah menjadi terlalu panas malah menurut Legion Realm, suhunya tidak pernah melebihi 45°C.

    Jika anda mahukan prestasi terbaik yang mampu dijana oleh telefon ini, anda boleh aktifkan Rampage Mode dalam Legion Realm, di mana prestasi CPU dan GPU akan dinaikkan ke tahap maksimum sepanjang masa bagi memastikan prestasi gaming tidak jatuh walau sedetik pun. Namun pengaktifan Rampage juga akan membuatkan hayat bateri habis dengan lebih cepat.

    Rampage Mode akan meningkatkan prestasi GPU dan CPU selagi mod tersebut dihidupkan

    Bateri 5,000mAh yang terdapat dalam telefon ini pastinya lebih daripada cukup untuk tahan selama sehari termasuk sesi gaming selama beberapa jam. Namun jika anda mengaktifkan Rampage, gaming selama sejam mampu menggunakan sehingga lebih 30% daripada bateri, oleh itu kami menasihatkan anda untuk hanya mengaktifkan Rampage jika anda berada dekat dengan palam elektrik untuk mengecas telefon anda.

    Pengecasan pantas sehingga 90W juga merupakan ciri menarik dalam telefon ini. Jika anda menggunakan hanya satu kabel, pengecasan penuh akan mengambil masa lebih kurang sejam sepuluh minit. Jika anda menggunakan dua kabel pula, pengecasan penuh mengambil masa setengah jam sahaja.

    Pengecasan penuh menggunakan dua kabel mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja

    Skrin AMOLED Full HD+ tentunya memaparkan imej yang cantik dan terang untuk semua kegunaan multimedia. Pembesar suara juga menjana bunyi yang sangat kuat namun mutu bunyinya masih jelas walaupun pada kekuatan maksimum.

    Butang ultrasonik yang berada di bucu telefon berfungsi dengan responsif untuk gaming malah anda juga boleh menetapkan sensitiviti sentuhan jika anda lebih gemar menekannya dengan lembut atau kuat. Getaran vibration feedback juga berfungsi dengan baik, namun malangnya ia hanya berfungsi dengan sesetengah game yang disokong sahaja. Turut menyukarkan keadaan adalah Lenovo tidak menyenaraikan game yang menyokong fungsi getaran ini. Setakat ujian kami, fungsi getaran hanya boleh diaktifkan dalam game Asphalt 9 manakala game popular seperti COD Mobile dan Genshin Impact tidak menyokongnya.

    Perisian Legion Realm menawarkan pelbagai fungsi yang menarik untuk merakam game anda. Selain fungsi asas seperti tangkapan skrin (screenshot) dan rakaman skrin (screen recording), kegemaran saya adalah fungsi Back Recording, di mana sebaik sahaja anda menekan butang rekod, telefon ini akan menyimpan video 15 atau 30 saat sebelum butang itu ditekan. Kini anda tidak perlu lagi merekod seluruh gameplay anda dengan rakaman skrin, sebaliknya hanya perlu menyimpan klip-klip pendek setiap kali peristiwa menarik berlaku dalam game anda. 

    Perisian Legion Realm menyediakan pelbagai fungsi gaming seperti Back Recording, Stream Mode, Screenshot, Screen Recording dan banyak lagi

    Legion Realm turut menawarkan fungsi RAM Clean untuk menutup segala aplikasi lain yang boleh mengganggu prestasi gaming anda dan memberi lebih ruang RAM kepada game yang dimainkan. Fungsi lain dalam Legion Realm termasuklah menghalang panggilan, menghalang pemesejan dan melaraskan butang kawalan.

    Jadi kita sudah pun sedia maklum bahawa Lenovo Legion Phone Duel memberikan prestasi yang tinggi untuk gaming, namun ini adalah sesuatu yang terdapat pada banyak telefon gaming yang lain jadi apakah yang membezakannya dengan pesaing-pesaingnya? Jawapannya adalah pada kamera swafoto pop-up di bahagian sisi yang dikhaskan untuk menyiarkan diri anda dalam siaran langsung sewaktu bermain game.

    Dengan posisi kamera yang berada di bahagian tengah-tengah sisi, tangan anda tidak akan menghalang kamera sewaktu bermain game. Bukan itu sahaja, Legion Realm turut menawarkan pelbagai fungsi yang dikhaskan untuk melaraskan muka anda dalam siaran, seperti fungsi untuk memadam latar belakang, menetapkan tahap kelutsinaran (transparency) muka anda dalam game dan melengkapkan muka anda dengan pelbagai efek khas. Posisi muka anda juga boleh diubah dengan mudah sewaktu menyiarkan game anda.

    Lenovo Legion Phone Duel memudahkan anda untuk memasukkan muka anda ke dalam game, justeru ke dalam siaran (streaming) anda

    Saya telah menggunakannya untuk menyiarkan game ke Twitch dan saya amat berpuas hati dengan kualiti siarannya, malah prestasi gaming tidak terganggu walaupun telefon sedang menyiarkan game ke Twitch. Setahu saya, tidak ada telefon lain di luar sana yang lengkap dengan ciri-ciri streaming seperti yang terdapat dalam Lenovo Legion Phone Duel.

    Walaupun Lenovo Legion Phone Duel hanya mempunyai dua kamera, ini tidaklah bermakna kualiti fotografi dan videografinya tidak bagus. Gambar-gambarnya memberikan warna yang jelas dan terang, setanding dengan kamera daripada telefon-telefon kelas pertengahan. Kameranya menawarkan pelbagai fungsi seperti Night Mode, Makro, kawalan profesional dan banyak lagi. Terdapat juga mod potret untuk memisahkan subjek anda dengan latar belakang, namun potongan di antara subjek dengan latar belakang kadang-kala nampak pelik dan tidak tepat.

    Daripada segi video pula, telefon ini boleh merakam dalam resolusi 4K dan ia mempunyai penstabilan imej elektronik (EIS) yang berfungsi dengan tahap yang memuaskan. Dalam video, kadang-kala anda boleh lihat sedikit warp effect yang terhasil daripada pemproses imej untuk menstabilkan video secara elektronik. Satu ciri rakaman yang saya minat adalah Dual Mode, di mana anda boleh merakam video menggunakan kamera utama dan kamera swafoto serentak.

    Kesimpulan – Telefon terbaik untuk streaming

    Prestasi gaming yang pantas sahaja tidak cukup untuk membuatkan Lenovo Legion Phone Duel menjadi telefon yang menarik untuk dimiliki pada 2020, namun kehadiran kamera dan fungsi-fungsi mesra streamer dalam telefon ini berjaya memisahkannya dengan telefon-telefon gaming yang lain. Jika anda berminat untuk menyiarkan permainan anda, saya rasa Lenovo Legion Phone Duel yang berharga RM3,399 adalah pilihan yang mantap untuk tujuan tersebut.

    Ternyata saingan utama telefon ini adalah ASUS ROG Phone 3 yang berharga RM3,799, malah kedua-dua telefon tersebut telah dilancar pada hari yang sama. Lenovo berjaya mengalahkan ASUS daripada segi kemudahan streaming, namun ASUS menawarkan lebih banyak aksesori telefon seperti kipas penyejuk, controller luaran dan banyak lagi. Oleh yang demikian, Lenovo masih mempunyai jalan yang jauh untuk menyaingi ASUS daripada segi aksesori telefon.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula...

    HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci...

    HONOR MagicBook X 16 2024 rasmi di Malaysia dengan Intel i5-12450H, skrin 16″ berharga...

    Selain telefon pintar dan tablet, komputer riba HONOR MagicBook X 16 2024 juga dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Ia dilengkapi dengan pemproses Intel...

    Shopee lancarkan program Jaminan Tepat Masa untuk penghantaran barang bermula 6 Mei ini

    Shopee akan melancarkan inisiatif terbaharunya, program Jaminan Tepat Masa yang bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kebolehpercayaan penghantaran untuk pembeli dalam talian.

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lutsinar bermula RM479

    Nothing Malaysia telah memperkenalkan dua fon telinga wayarles baharu iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Syarikat teknologi yang berpusat di London,...

    HONOR X7b 5G dilancar di Malaysia: Dimensity 6020, bateri 6,000mAh & kamera 108MP berharga...

    Memperkenalkan HONOR X7b 5G, telefon pintar yang berkuasa yang mentakrifkan semula prestasi mudah alih dan fotografi. Ia dilengkapi dengan RAM 16GB dan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X