Maybank akan melaksanakan had transaksi harian serta memperkenalkan tempoh bertenang selama 12 jam bagi sebarang peningkatan had untuk perkhidmatan tambah nilai (reload services), berkuat kuasa mulai 26 Mei 2025.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank tersebut untuk meningkatkan keselamatan transaksi atas talian para pelanggannya. Mulai tarikh tersebut, had transaksi harian bagi perkhidmatan tambah nilai akan dihadkan kepada:
| Jenis Perkhidmatan Tambah Nilai | Had Sedia Ada | Had Minimum | Had Maksimum |
| Tambah nilai prabayar mudah alih/internet | RM200 | RM0 | RM500 |
| Pembelian kredit permainan menggunakan PIN | RM200 | RM0 | RM500 |
Pengguna masih boleh menetapkan had tersuai sendiri dalam lingkungan had minimum dan maksimum yang ditetapkan. Sebarang permintaan untuk meningkatkan had transaksi harian perlu disahkan terlebih dahulu melalui Secure2u. Selepas pengesahan, akan terdapat tempoh bertenang selama 12 jam sebelum had baharu berkuat kuasa.
Semasa tempoh bertenang, pengguna masih boleh melakukan transaksi tambah nilai berdasarkan had sedia ada. Notifikasi berkenaan permulaan dan tamat tempoh bertenang akan dihantar menerusi aplikasi MAE dan e-mel berdaftar. Pengguna boleh menyesuaikan had transaksi harian melalui laman web Maybank2u dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Log masuk ke Maybank2u.
- Pilih menu ‘Settings’.
- Klik ‘Pay & Transfer’ dan pilih ‘Reload Limit’.
- Tetapkan had baharu dan sahkan melalui Secure2u.
Maybank menggalakkan semua pelanggan untuk menyemak dan menetapkan had transaksi harian yang sesuai mengikut keperluan masing-masing. Jika terdapat aktiviti mencurigakan dalam akaun, pengguna disarankan untuk mengaktifkan ciri ‘Kill Switch’ menerusi aplikasi MAE atau laman web Maybank2u untuk menyekat sementara akses ke akaun mereka.
Untuk maklumat dan sebarang kemas kini lanjut, pelanggan boleh merujuk laman rasmi Maybank di sini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

