Maybank menjelaskan bahawa mereka tidak merancang untuk menggantikan aplikasi MAE dengan platform baharu. Maybak mengeluarkan kenyataan untuk menepis spekulasi yang timbul sebelum ini mengenai kemungkinan pengguna perlu beralih ke aplikasi lain untuk perkhidmatan perbankan mudah alih.
Kekeliruan tercetus susulan kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, dalam satu sesi taklimat korporat sebelum ini yang menyebut bank sedang membangunkan “aplikasi perbankan mudah alih baharu” di bawah strategi lima tahun ROAR30.
Kenyataan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna khususnya mengenai keperluan untuk berpindah ke platform baharu selepas sebelum ini beralih daripada Maybank2u ke MAE. Bagaimanapun, jurucakap Maybank menjelaskan bahawa kenyataan tersebut merujuk kepada penambahbaikan berperingkat dalam aplikasi MAE sedia ada dan bukannya pelancaran aplikasi baharu.
Penjelasan itu mengesahkan bahawa MAE akan terus digunakan sebagai platform utama perbankan mudah alih Maybank, dengan peningkatan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa. Setakat ini, Maybank tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai ciri baharu atau garis masa pelaksanaannya, namun penjelasan tersebut bertujuan meredakan kebimbangan pengguna dan mengesahkan komitmen bank terhadap penambahbaikan platform sedia ada.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

