Site icon TechNave BM

MediaTek Dimensity 9400 – Cip pertama melepasi 3 juta mata dalam ujian AnTuTu

MediaTek dijangka akan memperkenalkan cipset Dimensity 9400 pada bulan Oktober ini. Ia berkongsi pelbagai spesifikasi yang sama seperti Dimensity 9300 termasuk menampilkan teras prestasi dan tiada teras kecekapan.

Cipset baharu ini juga dikatakan sebagai yang pertama daripada MediaTek yang dihasilkan secara besar-besaran pada proses 3nm generasi kedua TSMC. Kini, ia telah muncul dalam laman AnTuTu yang mendedahkan penanda aras baharu yang melepasi 3 juta mata. Skor AnTuTu tersebut telah diuji menggunakan vivo X200 Pro yang akan dilancarkan dan memperoleh 3,007,853 mata.

Untuk pengetahuan, Snapdragon 8 Gen 3 adalah terpantas pada ketika yang memperoleh 2,043,275 mata. Secara keseluruhan, Dimensity 9400 adalah 47% lebih pantas daripada SD 8 Gen 3 walaupun ia akan menarik untuk membuat perbandingan sebaik sahaja Snapdragon 8 Gen 4 dilancarkan bulan hadapan.

Rangsangan terbesar yang mempengaruhi skor Dimensity 9400 adalah dalam kategori GPU di mana cipset tersebut memperoleh 1,322,761 mata atau 44% daripada jumlah keseluruhan. Ia akan menampilkan GPU Immortalis-G925 MP12 terbaharu daripada ARM dan CPU juga mendapat peningkatan yang baik berdasarkan seni bina ‘BlackHawk’ baharu.

Nantikan kemunculan telefon vivo X200 Pro untuk mengetahui prestasi sebenar cipset yang mantap ini. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Wccftech

Exit mobile version