Site icon TechNave BM

Microsoft akan perkenalkan kekunci Copilot pada papan kekunci komputer Windows

Buat kali pertama dalam beberapa dekad, Microsoft akan memperkenalkan sebuah pembaharuan dalam susunan papan kekuncinya dengan pengenalan kekunci khas Copilot. Menurut syarikat teknologi Amerika Syarikat itu, pembaharuan ini merupakan perubahan utama terhadap papan kekuncinya sejak 30 tahun lalu.

Apabila pengguna menekan kekunci khas ini, ia menyediakan akses pantas kepada perisian Microsoft Copilot iaitu sebuah perisian AI chatbot yang memudahkan carian internet, penjanaan imej, teks atau lagu dan banyak lagi. Ia dibangunkan dengan model bahasa berdasarkan GPT-4 oleh OpenAI iaitu sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) yang dimiliki oleh Microsoft.

Sebagai sebuah perisian, Microsoft Copilot telah diperkenalkan sejak bulan Mac 2023 sebagai alat bantuan dalam Microsoft Office (Word, Excel dan Powerpoint) serta pelayar web Microsoft Edge. Dengan kekunci khas, pengguna boleh mengakses Copilot dengan lebih pantas.

Sebelum ini, pengguna boleh mengakses Copilot dengan pintasan (shortcut) Windows+C, namun bermula tahun ini, komputer Windows bakal mempunyai butang khas untuk perisian itu.

Ia bukan sahaja ditawarkan dalam komputer Windows, malah versi khas untuk peranti-peranti Apple baru sahaja diperkenalkan pada akhir tahun lalu.

Microsoft mengatakan komputer-komputer pertama yang dilengkapi kekunci Copilot ini akan mula diperkenalkan pada tahun ini, bermula dengan acara Consumer Electronics Show (CES) di Amerika Syarikat. Syarikat itu menyifatkan pengenalan kekunci Copilot ini sebagai sama pentingnya dengan pengenalan kekunci Start pada hampir 30 tahun lalu.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Windows

Exit mobile version