Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan untuk mengharamkan penjualan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar atau dummy buckle yang semakin berleluasa dalam pasaran.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa penggunaan dummy buckle adalah dilarang kerana ia melanggar peraturan keselamatan jalan raya. Namun, penguatkuasaan terhadap penjualannya berada di bawah bidang kuasa KPDN.
Beliau menekankan bahawa kebanyakan kenderaan baharu dilengkapi dengan sensor yang mengeluarkan bunyi amaran jika tali pinggang keledar tidak dipakai dan penggunaan ‘dummy buckle’ membolehkan pemandu mengabaikan amaran ini tanpa memakai tali pinggang yang meningkatkan risiko keselamatan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, melaporkan peningkatan trend penggunaan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar. Dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina, kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar mencatatkan 195 kes dengan lebih 30% daripadanya melibatkan penggunaan aksesori tersebut.
Selain itu, Anthony Loke mengingatkan bahawa larangan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam semua bas ekspres yang dikuatkuasakan pada 6 November tahun lalu masih berkuat kuasa. Larangan ini akan diteruskan sehingga polisi dan garis panduan pendawaian baharu dikeluarkan oleh MOT.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Bernama

