Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) secara rasminya telah membangunkan Sawit EcoTherm iaitu cecair penyejuk rendaman yang dihasilkan daripada minyak sawit. Teknologi ini dibangunkan sebagai alternatif kepada sistem penyejukan tradisional berasaskan air dan udara yang sering digunakan di pusat data ketika ini.
Menurut MPOB, ia berfungsi dengan merendam komponen pelayan (server) ke dalam cecair dielektrik bukan konduktif di dalam sistem gelung tertutup. Proses ini bertujuan untuk menyingkirkan haba secara berterusan tanpa memerlukan menara penyejuk yang lazimnya menggunakan air dalam jumlah yang besar melalui proses penyejatan.
Sawit EcoTherm mampu menawarkan kecekapan tenaga yang lebih tinggi dengan mengurangkan penggunaan tenaga sekitar 30 hingga 50 peratus. Ini penting untuk pusat data generasi akan datang yang menempatkan pelayan AI memandangkan perkakasan tersebut mampu menghasilkan haba tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding pelayan konvensional.
Daripada sudut komposisi, cecairnya terdiri daripada 95 peratus bahan berasaskan bio yang diperbaharui dan diperoleh secara tempatan. Produk ini juga disahkan bebas daripada bahan kimia kekal atau PFAS (per- and polyfluoroalkyl substances), bersifat mudah terbiodegradasi serta mempunyai ketoksikan ekologi yang rendah.
Penggunaan bahan disasarkan untuk membantu pengendali pusat data mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Bagi fasa seterusnya, MPOB menyatakan bahawa mereka kini memberi tumpuan kepada kerjasama strategik bersama penyedia teknologi, pembangun pusat data, pengeluar pelayan dan pihak industri yang berkaitan.
Fokus utama pada ketika ini adalah untuk melaksanakan projek rintis serta validasi teknikal bagi menunjukkan prestasi, kebolehpercayaan dan manfaat kos jangka panjang teknologi tersebut sebelum ia diguna pakai secara meluas. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Bernama

