Kementerian Kesihatan akan mengaktifkan Makluman Kesihatan cacar monyet dalam aplikasi MySejahtera mulai hari esok. Ini merupakan salah satu inisiatif bagi membendung penularan wabak tersebut.
Seperti yang dikatakan oleh Menteri Kesihatan iaitu Khairy Jamaluddin, pengembara yang tiba dari negara endemik atau dari negara yang dilaporkan dengan wabak cacar monyet akan menerima Makluman Kesihatan (Health Alert). Makluman Kesihatan berfungsi memberi amaran pada setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.
Pengembara dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan segera sekiranya mendapati menghidap tanda-tanda atau gejala wabak tersebut. Rakyat Malaysia juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan wabak itu.
Selain itu, pengembara yang bergejala dan berkemungkinan dijangkiti virus cacar monyet sebaik-baiknya menunda perjalanan mereka ke luar negara. Kementerian Kesihatan juga telah mempertingkatkan kawalan penyakit cacar monyet dalam negara ini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia.
Sumber: Facebook MySejahtera

