Firma analisis industri teknologi Counterpoint Research telah menerbitkan sebuah laporan yang mengatakan bahawa jenama telefon pintar dari Finland, Nokia, ialah jenama telefon yang paling boleh dipercayai untuk tahun ini. Laporan yang dinamakan Telefon Nokia Mengetuai Ranking Kepercayaan Berdasarkan Perisian, Kemas Kini Keselamatan dan Mutu Buatan itu mengatakan Nokia berjaya memegang status itu untuk dua tahun berturut-turut.
Nokia menyediakan kemas kini utama Android 10 untuk kesemua 20 telefonnya, di samping OnePlus. Samsung pula hanya menyediakan Android 10 untuk 89% daripada telefonnya, kemudian realme pada 73% dan Xiaomi pada 68%. Daripada segi kemas kini keselamatan, Nokia adalah satu-satunya jenama yang mampu menyediakan kemas kini bulanan untuk semua telefonnya.
Telefon-telefon Nokia memang terkenal dengan mutu buatan yang kukuh, jadi tidak memeranjatkan apabila Counterpoint turut mengatakan hal yang sama. Produk Nokia mencatatkan markah yang tinggi berbanding purata industri untuk pelbagai kategori dalam tinjauan mutu buatan, seperti tekanan keras (hard pressure), impak jatuh (drop impact) dan keteguhan produk (product robustness).
Counterpoint turut menjelaskan bahawa telefon Nokia tidak terlepas daripada pepijat (bug) selepas memasang kemas kini, namun Nokia mampu membaiki pepijat tersebut secepat mungkin dan lebih cepat berbanding jenama-jenama lain. Ini termasuklah Nokia 5.3 yang mempunyai pepijat selepas kemas kini dan mampu diselesaikan oleh Nokia dalam masa sebulan.
Kongsi pendapat anda tentang pengiktirafan Nokia ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Nokiamob
Gambar ihsan Wikipedia

