Nothing dilaporkan sedang bersiap untuk melancarkan Phone (4a) dan Phone (4a) Pro sebagai penerus kepada siri Phone (3a) yang dilancarkan pada bulan Mac. Kedua-dua model dijangka menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon siri 7 Gen 4, walaupun masih belum jelas sama ada kedua-dua akan menggunakan Snapdragon 7 Gen 4 yang sama atau jika model asas akan mendapat 7s Gen 4 dan model Pro akan mendapat 7 Gen 4.
Varian Pro dikatakan menyokong eSIM secara eksklusif dan pilihan warna yang disebut termasuk biru, merah jambu, putih dan hitam. Untuk konfigurasi 12GB + 256GB, harga tertiris ialah sekitar US$475 (~RM1,950) dan US$540 (~RM2,225) yang kemungkinan besar merujuk kepada Phone (4a) dan Phone (4a) Pro masing-masing berdasarkan kadar pertukaran semasa.
Selain telefon, Nothing juga dikatakan akan memperkenalkan Headphone (a), model fon kepala yang lebih mampu milik dengan binaan plastik sepenuhnya serta palet warna termasuk merah jambu, kuning, putih dan hitam. Headphone (a) ini dijangka menjadi pilihan alternatif kepada Nothing Headphone (1) sambil menawarkan gaya dan harga yang lebih rendah.
Jika semua maklumat ini tepat, pelancaran ini menunjukkan usaha Nothing untuk terus memperkukuh posisi mereka dalam segmen peranti pertengahan yang bergaya dan berpatutan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: GSMArena

