Site icon TechNave BM

Nothing Phone (1) mungkin tampilkan rekaan lutsinar seperti ear (1)

Selepas melancarkan fon telinga wayarles Nothing ear (1) pada tahun lepas, Nothing bakal melancarkan telefon pintarnya yang pertama pada tahun ini. Sungguh pun begitu, syarikat yang ditubuhkan oleh Carl Pei itu masih belum memberikan sebarang maklumat rasmi berkenaan telefon tersebut.

Kini media melaporkan bahawa Carl Pei dan ketua pereka Nothing, Tom Howard, mengesahkan bahawa Nothing Phone (1) bakal mempunyai bahagian belakang yang lutsinar dan menampakkan komponen dalaman telefon tersebut. Mereka berdua telah berkongsi beberapa lakaran ringkas untuk Nothing Phone (1) kepada media Wallpaper.

Ini menjadikannya serupa dengan fon telinga wayarles Nothing ear (1) yang turut mempunyai rekaan lutsinar. Carl Pei mengatakan semua produk Nothing akan dibina dengan falsafah rekaan yang seragam, jadi semua produknya mungkin akan mempunyai rekaan lutsinar.

Lakaran untuk Nothing Phone (1)
Fon telinga wayarles Nothing ear (1)

Howard pula mengatakan hanya komponen yang nampak menarik sahaja akan dipaparkan pada permukaan lutsinar telefon itu, seperti gegelung wayar untuk pengecasan wayarles. Beliau menjelaskan bahawa terdapat lebih 400 komponen dalam sebuah telefon pintar, dan Nothing ingin mengetengahkan komponen yang nampak cantik.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki telefon Nothing dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Wallpaper

Exit mobile version