Site icon TechNave BM

Nothing Phone (3) akan dilancar pada suku ketiga 2025

Nothing telah melancarkan dua telefon pintar pertama untuk tahun ini, Nothing Phone (3a) dan Nothing Phone (3a) Pro, namun kedua-dua peranti itu adalah telefon kelas pertengahan sahaja. Jika anda lebih berminat dengan telefon andalan (flagship) Nothing Phone (3), CEO Nothing Carl Pei telah mengesahkan jadual pelancarannya.

Sewaktu mengadakan sebuah sesi soal jawab dalam X, Carl Pei mengatakan Nothing Phone (3) akan dilancar pada suku ketiga 2025. Ini bermaksud ia akan dilancar dalam tempoh sekitar Julai hingga September tahun ini.

Untuk makluman, Nothing Phone (2) telah dilancar pada Julai 2023 dan syarikat itu tidak melancarkan telefon andalan pada 2024. Memandangkan Nothing tidak melancarkan telefon andalan pada tahun lalu, edisi tahun ini pasti akan dinanti oleh para peminat Nothing.

Selain soalan mengenai Phone (3), Carl turut memaklumkan lebih banyak maklumat mengenai Nothing, seperti tumpuan pada penambahbaikan yang perlahan dan sekata pada setiap tahun, tumpuan pada pasaran India, serta tempoh 9-18 bulan yang diperlukan untuk membangunkan sesebuah produk.

Beliau juga berpendapat bahawa pelbagai fungsi AI dalam telefon pada waktu ini adalah mengarut. Ia akan diperkenalkan dalam telefon Nothing pada masa hadapan, tetapi dalam masa yang lama lagi.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing Phone (3) dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version