Site icon TechNave BM

Nothing tarik semula aplikasi Nothing Chats daripada Google Play Store kerana isu pepijat

Pada minggu lalu, Nothing melancarkan aplikasi permesejan Nothing Chats yang membenarkan pengguna telefon pintar Nothing Phone (2) untuk berbalas mesej teks dengan pengguna iMessage dalam iPhone. Walau bagaimanapun, syarikat itu menarik semula aplikasi Nothing Chats daripada platform Google Play Store selepas mereka mengenal pasti beberapa pepijat (bugs) dalam aplikasi tersebut.

Dalam sebuah ciapan, Nothing menjelaskan bahawa versi beta untuk Nothing Chats tidak lagi ditawarkan dalam Play Store dan kini sedang bekerjasama dengan Sunbird untuk menyelesaikan beberapa pepijat dalam aplikasi itu. Sunbird adalah syarikat yang bertanggungjawab membina Nothing Chats dan menghubungkan aplikasi itu untuk berinteraksi dengan iMessage.

Salah satu isu yang timbul berkenaan Sunbird adalah ia tidak menggunakan penyulitan hujung-ke-hujung (end-to-end encryption) sewaktu menghantar mesej pengguna, lantas membenarkan pihak Sunbird untuk mengakses teks yang dihantar antara penghantar dan penerima mesej. Ini menimbulkan isu privasi dalam kalangan pengguna Nothing Chats dan mungkin telah mendesak Nothing untuk tidak lagi menawarkan aplikasi itu buat masa ini.

Buat masa ini, Nothing masih belum menyatakan perancangannya untuk memperkenalkan semula Nothing Chats dalam Play Store.

Dalam pada itu, baru-baru ini Apple telah mengumumkan bahawa ia akan mulakan sokongan untuk standard RCS (Rich Communication Services) dalam iMessage dan memudahkan permesejan di antara peranti-peranti Android dengan iPhone. Ini mungkin akan membuatkan Nothing Chats tidak lagi unik dalam penggunaan peranti Android.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version