Site icon TechNave BM

OnePlus Pad Go dilancar: Tablet mampu milik dengan skrin 11.35″, Helio G99, bateri 8,000mAh bermula ~RM1,140

Selepas melancarkan tablet pertamanya pada bulan Februari lalu, kini OnePlus melancarkan sebuah tablet mampu milik pula iaitu OnePlus Pad Go. Tablet ini mempunyai skrin yang agak besar, berukuran 11.35 inci, namun spesifikasinya lebih rendah berbanding OnePlus Pad asal.

Skrinnya mempunyai panel IPS LCD dengan resolusi 1720×2408, nisbah aspek 7:5 dan kadar segar semula 90Hz. Dengan panel IPS LCD, warna yang dihasilkan mungkin tidak secantik dalam OnePlus Pad, namun saiznya yang besar sudah memadai untuk kebanyakan tugas.

Di belakang, ia ditawarkan dalam satu sahaja warna iaitu Twin Mint. Bahagian sisinya menempatkan empat pembesar suara dengan fungsi Dolby Atmos. Kameranya terdiri daripada kamera utama 8MP dan kamera swafoto 8MP.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Helio G99, RAM 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB yang boleh dibesarkan dengan kad memori microSD. Baterinya berkapasiti 8,000mAh dan boleh dicas dengan pengecasan pantas 33W SuperVOOC.

Sistem operasinya adalah Android 13 dengan antara muka OxygenOS 13.2, dengan fungsi-fungsi seperti cerminan skrin (screen mirroring) dan pemindahan fail (file sharing) dengan peranti OnePlus lain. Tablet ini ditawarkan dalam varian Wi-Fi sahaja atau Wi-Fi+LTE.

OnePlus Pad Go telah dilancar di India dan dijual pada harga bermula INR19,999 (~RM1,140) untuk varian asas. Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: OnePlus

Exit mobile version