Site icon TechNave BM

OPPO akan perkenalkan teknologi AI generatif dalam setiap produknya, termasuk peranti bajet

Bagi meluaskan akses kepada tekologi kecerdasan buatan (AI) generatif, OPPO mengumumkan bahawa teknologi tersebut akan diperkenalkan dalam semua peranti buatannya bermula tahun 2024. Ini bermaksud setiap peranti OPPO, daripada peranti mampu milik hinggalah peranti andalan (flagship), boleh memanfaatkan teknologi AI generatif, dengan jumlah pengguna global mencapai 50 juta.

Buat masa ini, kebanyakan jenama masih menawarkan teknologi AI generatif dalam barisan produk premium sahaja, seperti dalam siri Samsung Galaxy S24. OPPO percaya bahawa teknologi tersebut tidak sepatutnya dihadkan kepada peranti andalan, sebaliknya ia patut boleh dimanfaatkan oleh semua pengguna, tidak kira kategori peranti yang digunakan.

OPPO kini bekerjasama dengan Google, MediaTek dan IDC untuk membangunkan teknologi AI generatif dalam produk-produknya. Dalam masa terdekat, para pengguna siri OPPO Reno12 dan OPPO Find X terkini akan menerima fungsi-fungsi AI yang dibangunkan oleh Google Gemini seperti AI Toolbox, AI Writer dan AI Recording Summary.

Peranti-peranti OPPO juga akan menerima teknologi AI yang dibangunkan oleh MediaTek dan Microsoft. Buat masa ini, OPPO sudah memperkenalkan fungsi AI buatannya sendiri seperti OPPO AI Eraser yang boleh memadamkan objek yang tidak diingini dalam gambar.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan teknologi AI OPPO dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: OPPO

Exit mobile version