Site icon TechNave BM

OPPO Find X7 akan jadi telefon pertama dengan sokongan 5.5G

Baru-baru ini, syarikat telekomunikasi China, China Mobile, telah memperkenalkan rangkaian 5G-Advanced (5.5G atau 5GA) secara komersial yang membenarkan para pengguna di negara itu untuk mengakses internet dengan kelajuan lebih pantas berbanding 5G biasa. Sungguh pun begitu, rangkaian 5.5G masih tidak boleh dimanfaatkan oleh kebanyakan telefon pintar.

Berikutan perkembangan tersebut, Ketua Pegawai Produk OPPO Pete Lau mengumumkan bahawa siri telefon pintar andalan OPPO Find X7 bakal menjadi telefon pertama yang akan menyokong rangkaian 5.5G. Perkara tersebut dimaklumkan melalui sebuah poster yang dimuat naik ke media sosial Weibo.

Siri Find X7 dijangka terdiri daripada dua varian utama iaitu OPPO Find X7 dengan cipset MediaTek Dimensity 9300 dan OPPO Find X7 Ultra dengan cipset Snapdragon 8 Gen 3. Kedua-dua telefon bakal menerima sokongan 5.5G.

Rangkaian 5.5G menjanjikan internet yang lebih pantas sebanyak 300% berbanding 5G standard, bersamaan dengan 10Gbps muat turun dan 1Gbps muat naik. Buat masa ini, lokasi rangkaiannya masih kecil dan China Mobile merancang untuk memperkenalkannya dalam 300 bandar China pada hujung tahun ini, termasuk di Beijing, Shanghai dan Guangzhou.

Sebelum ini, Maxis telah menunjukkan demonstrasi tentang penggunaan rangkaian 5.5G di Malaysia, namun buat masa ini masih tiada maklumat mengenai pengenalannya secara komersial.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version