Esports World Cup 2026 secara rasmi akan berlangsung di Paris dari 6 Julai hingga 23 Ogos 2026 yang menandakan edisi pertama kejohanan itu dianjurkan di luar Riyadh sejak penubuhannya. Esports Foundation mengesahkan perpindahan lokasi adalah sebahagian daripada strategi pengembangan global jangka panjang bagi memperluaskan skala penganjuran EWC.
Menurut EF, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian operasi menyeluruh termasuk faktor situasi serantau semasa yang turut mempercepatkan peralihan EWC ke model pusingan global. Langkah ini juga bertujuan memberikan kestabilan kepada pemain, kelab esports, penerbit permainan dan rakan industri di seluruh dunia.
Riyadh kekal sebagai hab utama dan “rumah” kepada EWC, namun Paris dipilih kerana statusnya sebagai pusat sukan, budaya dan hiburan global. EWC 2025 sebelum ini mencatat angka tontonan besar dengan lebih 750 juta penonton global, 350 juta jam tontonan dan kemuncak hampir 8 juta tontonan serentak menjadikannya antara acara e-sukan paling ditonton di dunia.
Untuk edisi 2026, penganjur menyasarkan lebih 2,000 pemain, 200 kelab dan penyertaan dari lebih 100 negara membabitkan 24 judul permainan dan 25 kejohanan kompetitif dengan jumlah hadiah melebihi AS$75 juta. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

