Site icon TechNave BM

Pelancaran nubia Red Magic 5S: Snapdragon 865, skrin 144Hz, pengecasan 55W berharga ~RM2,304

Nampaknya bulan Julai ini melihatkan beberapa telefon pintar gaming diumumkan. Terbaru, nubia telah melancarkan telefon nubia Red Magic 5S yang dilengkapi cipset Snapdragon 865 dan pelbagai spesifikasi gaming khusus yang lain.

Red Magic 5S dilengkapi skrin AMOLED Full HD+ berukuran 6.65 inci dengan kadar segar semula 144Hz, kadar bacaan sentuhan (touch sampling rate) 240Hz dan jurang warna (colour gamut) DCI-P3 100%. Untuk bateri, ia dilengkapi bateri 4,500mAh yang mempunyai teknologi pengecasan pantas 55W NeoCharge. Terdapat juga butang Dual-IC di bucu telefon dengan kadar tindak balas sentuhan 320Hz untuk memudahkan kawalan gaming.

Daripada segi fotografi, Red Magic 5S dilengkapi tiga kamera di belakang, merangkumi kamera utama 64MP dengan sensor Sony IMX686, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kamera swafoto pula adalah kamera 8MP yang diletakkan pada sempadan bezel yang agak nipis.

Untuk tujuan penyejukan sewaktu sesi gaming, Red Magic 5S mempunyai sinki haba (heat sink) yang diperbuat daripada perak untuk penyejukan yang lebih cekap berbanding bahan lain seperti tembaga atau emas. Selain sinki itu, telefon ini juga dilengkapi sistem pelesapan haba ICE 4.0 dan kipas 1 gram yang boleh berputar sebanyak 15,000rpm (putaran setiap minit) untuk membantu menyejukkan Red Magic 5S.

Red Magic 5S akan mula dijual pada harga 3,799 Yuan (~RM2,304) untuk varian 8GB+128GB, 4,399 Yuan (~RM2,668) untuk varian 12GB+256GB dan 4,999 Yuan (~RM3,032) untuk varian 16GB+256GB. Semua varian dilengkapi memori RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1.

Masih tiada berita tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon pintar ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Diterjemahkan daripada TechNave English

Exit mobile version