Site icon TechNave BM

Pelanggan beli iPhone 12 Pro Max dalam internet, dapat jus kotak perisa epal

Seorang wanita di wilayah Anhui, China telah berkongsi nasib malangnya dalam media sosial Weibo di mana beliau ditipu oleh seorang scammer sewaktu ingin membeli telefon pintar iPhone 12 Pro Max. Wanita bernama Liu itu telah berbelanja CNY10,099 (~RM6,330) untuk membelinya namun bungkusan yang diterimanya beberapa hari kemudian hanyalah sekotak jus epal.

Beliau melaksanakan transaksi tersebut pada 16 Februari dalam sebuah laman web yang amat menyerupai laman web rasmi Apple. Bungkusan tersebut juga tidak dihantar terus kepadan Liu, sebaliknya penghantar sekadar meletakkan bungkusan dalam almari kotak pos untuk penduduk tempatan.

Bungkusan yang diterima oleh Liu

Pihak polis tempatan dan syarikat penghantaran yang bertanggungjawab dengan pembelian Liu telah melancarkan penyiasatan terhadap penipuan itu. Apple juga menyatakan mereka telah melantik beberapa orang untuk menyiasat insiden tersebut.

Nasib malang yang melanda Liu telah menjadi tular dalam Weibo, di mana netizen China berkongsi pelbagai pendapat tentang punca kejadian itu. Ada yang menyatakan pihak penghantar telah menggantikan iPhone sebenar dengan kotak jus epal, manakala netizen lain berpendapat Liu telah diperdayakan oleh sebuah laman web Apple palsu yang sangat serupa dengan laman web Apple sebenar.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Global Times

Exit mobile version