Site icon TechNave BM

Pelanggan CIMB perlu guna SecureTAC dalam aplikasi CIMB Clicks untuk transaksi lebih RM100

Bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan pelanggannya, CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd telah mengumumkan beberapa langkah keselamatan baharu untuk dua aplikasinya iaitu CIMB Clicks dan CIMB Octo. Antara langkah yang paling ketara adalah sebarang pemindahan wang bernilai RM100 ke atas akan memerlukan pengesahan SecureTAC dalam aplikasi CIMB Clicks.

CIMB mengatakan pengesahan ini akan dikuatkuasakan bermula hari Isnin, 5 Disember 2022 untuk pemindahan yang dilakukan melalui laman web. Pelanggan tidak akan menerima lagi kod TAC SMS sewaktu melakukan urus niaga, dan sebaliknya perlu memuat turun aplikasi CIMB Clicks dan mengesahkan urus niaga melalui aplikasi itu.

Pemindahan wang bernilai RM100 ke bawah masih tidak memerlukan pengesahan SecureTAC, namun CIMB merancang untuk memperkenalkan pengesahan tersebut pada separuh pertama 2023.

Bagi mengelakkan sebarang masalah, CIMB menggesa semua pelanggan untuk memuat turun aplikasi CIMB Clicks ke dalam peranti mereka dan menghidupkan pemberitahuan untuk menerima SecureTAC.

Selain itu, SecureTAC dalam aplikasi CIMB Clicks juga diperlukan untuk proses pengesahan pelanggan sewaktu log masuk kali pertama. Bermula 26 Disember 2022, pengguna baharu atau pengguna sedia ada yang ingin daftar masuk ke dalam aplikasi CIMB Clicks atau CIMB Octo dalam peranti baharu perlu melalui proses pengesahan panggilan untuk mengelakkan sebarang kes penipuan.

Semua langkah ini adalah selari dengan permintaan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap semua syarikat bank tempatan untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan buat para pelanggan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version