Site icon TechNave BM

Pemilik peranti OPPO di Malaysia kini boleh muat turun Fortnite

Jika anda merupakan seorang pengguna telefon pintar atau tablet OPPO dan anda ingin bermain game popular Fortnite, anda kini boleh memuat turun game itu daripada platform OPPO App Market.

OPPO mengumumkan bahawa Fortnite boleh dimuat turun daripada OPPO App Market untuk pengguna di Indonesia, Thailand, Filipina, Malaysia, Vietnam dan India bermula 10 Oktober 2023. Ini pasti akan memudahkan mereka kerana Fortnite tidak ditawarkan dalam Google Play Store.

Jika anda tidak tahu, Fortnite tidak boleh lagi dimuat turun daripada Play Store sejak Ogos 2020 kerana syarikat penerbitnya, Epic Games, enggan mematuhi undang-undang Play Store berkenaan pembelian dalam aplikasi (in-app purchases).

Ini tidaklah bermakna pengguna Android tidak boleh memuat turun Fortnite langsung. Mereka masih boleh melakukannya dengan melayari laman web Fortnite dan memuat turun fail APK untuk Epic Games App dan memasang Fortnite secara manual, namun cara ini mungkin agak leceh untuk segolongan pengguna.

Satu lagi kaedah adalah dengan menggunakan penstriman gaming awanan (cloud gaming platform) seperti Xbox Cloud Gaming dan NVIDIA GeForce Now, namun cara ini menghasilkan pengalaman gaming yang agak tersangkut-sangkut dan tidak setanding dengan jika game itu terus dimuat turun ke dalam telefon.

Dengan pengenalan Fortnite dalam OPPO App Market, ini akan memudahkan para pengguna peranti OPPO untuk memuat turun game tersebut tanpa perlu melayari laman web Fortnite. Beberapa peranti OPPO seperti OPPO Find N3, Find X5 Pro dan Reno10 Pro+ juga boleh memainkan Fortnite dengan kadar bingkai 90FPS untuk pengalaman yang lebih lancar.

Selain OPPO App Market, Fortnite turut ditawarkan untuk pengguna Samsung melalui platform Samsung Galaxy Store.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan bermain Fortnite dalam peranti OPPO dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version