Malayan Banking Berhad (Maybank) mengumumkan perubahan kepada kaedah penetapan semula kata laluan Maybank2u berkuat kuasa hari ini. Pelanggan individu atau pemilik tunggal hanya boleh menetapkan semula kata laluan Maybank2u mereka menerusi aplikasi MAE yang menggantikan kaedah terdahulu yang turut melibatkan laman web.
Maybank menegaskan perubahan ini tidak menjejaskan pengguna akaun perniagaan seperti M2UBiz dan M2E yang kekal menggunakan kaedah sedia ada. Langkah-langkah penetapan semula kata laluan melalui aplikasi MAE adalah seperti berikut:
- Pilih “Forgot Password” atau “Forgot Login Details” di skrin log masuk aplikasi MAE.
- Sahkan identiti menggunakan Secure2u.
- Pilih kaedah pengesahan akaun berdasarkan maklumat pendaftaran, sama ada kad debit/kredit, nombor dompet MAE atau nombor akses.
- Masukkan PIN aplikasi MAE (6 digit).
- Lengkapkan pengesahan identiti dengan mengimbas kad pengenalan atau pasport serta mengambil swafoto.
- Semak nama pengguna yang dipaparkan.
- Tetapkan kata laluan baharu dan sahkan melalui Secure2u.
Penetapan semula hanya dibenarkan sekali dalam tempoh 24 jam. Bagi pelanggan yang menghadapi isu lain seperti kehilangan peranti dengan Secure2u, terlupa PIN MAE atau menghadapi masalah log masuk, PIN sementara boleh ditetapkan semula di mesin ATM atau cawangan Maybank. PIN sementara itu sah digunakan dalam tempoh 48 jam.
Sekiranya berlaku tiga kali kegagalan percubaan pengesahan, akaun Maybank2u akan disekat selama 24 jam sebagai langkah keselamatan tambahan. Langkah baharu ini sejajar dengan usaha Maybank untuk memperkukuh keselamatan dan memudahkan pengguna mengurus akses akaun melalui aplikasi MAE yang berintegrasi dengan ciri Secure2u.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Maybank

