Site icon TechNave BM

Penunggang Grab kini perlu lengkapkan borang kesihatan & kebersihan sebelum menaiki kereta

Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini, Grab Malaysia telah memperkenalkan polisi baharu untuk semua pengguna di Malaysia sebelum menaiki perkhidmatan kenderaannya. Melalui aplikasi Grab, syarikat itu memperkenalkan GrabProtect Care Kit dan borang pengisytiharan kesihatan dan kebersihan dalam talian bermula bulan ini.

Contoh tangkapan skrin daripada borang kesihatan dan kebersihan Grab.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum menaiki Grab anda. Pertama, semua pihak termasuk penunggang, pemandu dan rakan penghantar Grab perlu mengisi borang yang disebutkan tadi dan isytiharkan bahawa anda tidak mempunyai gejala COVID-19 atau sebarang kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam tempoh 14 hari yang lalu. Selain itu, Care Kit yang terdiri daripada cecair pembersihan tangan dan penyembur pembasmi kuman akan diberikan sepanjang perkhidmatan.

Penunggang dan pemandu perlu memakai pelitup muka pada setiap masa. Jika mana-mana pihak gagal memakai pelitup muka, penunggang atau pemandu boleh membatalkan perkhidmatan dengan maklum balas “Driver/passenger did not wear a mask (Pemandu/penunggang tidak memakai pelitup muka)” dan pembatalan tersebut tidak akan mendatangkan penalti. Penunggang juga boleh memberikan maklum balas sekiranya pemandu Grab mereka nampak tidak sihat.

Setakat ini, borang tersebut hanya boleh didapati melalui aplikasi Grab Driver namun dengan pengumuman ini, kita boleh jangkakan borang ini untuk diakses oleh semua orang dalam masa terdekat.

TechNave berharap para pembaca akan terusk mengekalkan amalan penjagaan kesihatan sewaktu PKPP ini. Beritahu kami pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version