Site icon TechNave BM

POCO F4 5G akan dilengkapi Snapdragon 870 dan RAM 12GB

Selepas melancarkan telefon pintar andalan POCO F4 GT pada awal tahun ini, kini POCO akan melancarkan variannya yang lebih rendah sedikit iaitu POCO F4 5G dan syarikat itu telah pun mengesahkan beberapa spesifikasi untuk peranti tersebut.

POCO F4 5G bakal dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 870, iaitu sebuah cipset yang masih boleh menghasilkan prestasi pantas walaupun ia bukannya cipset tercanggih oleh Qualcomm pada waktu ini. Ia mempunyai prestasi yang lebih pantas sedikit berbanding Snapdragon 865 iaitu cipset untuk telefon andalan pada 2020.

Selain itu, memori POCO F4 5G terdiri daripada RAM LPDDR5 sebanyak 12GB dan storan dalaman UFS 3.1, namun kapasitinya masih belum diumumkan. Memandangkan RAM telefon ini agak tinggi, ia mungkin ditawarkan bersama kapasiti storan 256GB.

Untuk mengawal suhu dalaman, telefon ini akan dilengkapi sistem pelesapan haba LiquidCool 2.0 bagi mengekalkan prestasinya dalam tempoh masa yang lebih lama.

POCO F4 5G dikatakan adalah Redmi K40S yang dijenamakan semula untuk pasaran antarabangsa. Redmi K40S telah pun dilancar di China pada bulan Mac lalu dan spesifikasinya termasuklah skrin AMOLED FHD+ 120Hz 6.67 inci, kamera swafoto 20MP, bateri 4,500mAh dan pengecasan pantas 67W.

Tarikh pelancaran untuk POCO F4 5G masih belum diketahui. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version