Site icon TechNave BM

Proton dedah penuh e.MAS 5 — EV paling mampu milik bakal dilancar 30 Oktober ini

Proton hari ini mendedahkan secara rasmi model hatchback elektrik pertamanya, Proton e.MAS 5, dua hari lebih awal sebelum pelancaran rasmi yang dijadualkan pada 30 Oktober 2025. Walaupun harga rasmi masih belum diumumkan, anggaran awal menunjukkan julat harga antara RM60,000 hingga RM80,000.

Ia menjadikannya antara kenderaan elektrik (EV) paling mampu milik di Malaysia setakat ini. e.MAS 5 menampilkan gaya badan penuh tanpa sebarang samaran yang diinspirasikan daripada Geely Xingyuan/EX2. Pilihan warna termasuk Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey manakala varian Premium mendapat tambahan eksklusif seperti Marble Cream dan Quartz Rose.

Bahagian sisi dihiasi corak C-pillar berbentuk bintang dan pencahayaan dalaman “shooting star” yang menyerlahkan tema “star wish”. Kabin e.MAS 5 pula dilengkapi paparan infotainmen 14.6 inci yang menggunakan sistem operasi Proton Atlas OS, menyokong Apple CarPlay dan Android Auto wayarles serta kawalan suara dalam Bahasa Malaysia.

Varian Prime hadir dengan lampu hadapan halogen, rim keluli 16 inci, kawalan pendingin dan tempat duduk manual. Sementara itu, varian Premium menambah baik ciri seperti lampu LED penuh, enam pembesar suara, kamera 360 darjah dan pintu belakang kuasa. Kedua-dua varian menggunakan pacuan roda belakang dengan motor tunggal.

Varian Prime menghasilkan 79PS (58kW) dan 130Nm tork dengan bateri 30.12kWh (LFP) yang menawarkan jarak sekitar 225km (WLTP) manakala varian Premium pula menjana 116PS (85kW) dan 150Nm tork yang disokong bateri 40.16kWh dengan jarak sekitar 325km (WLTP). Kelajuan maksimum masing-masing ialah 125km/j dan 135km/j.

Untuk pengecasan, varian Premium menyokong pengecasan pantas DC sehingga 71kW (30–80% dalam kira-kira 21 minit) dan pengecasan AC 6.6kW untuk penggunaan harian di rumah. Dengan lebih 4,000 tempahan direkodkan sebelum pelancaran rasmi, e.MAS 5 dijangka menjadi model perhatian untuk pasaran tempatan terutama bagi golongan berpendapatan sederhana.

Pelancaran rasmi Proton e.MAS 5 akan berlangsung pada 30 Oktober 2025 dan semua butiran harga serta tawaran rasmi dijangka diumumkan. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version