Selepas beberapa minggu hangat diperkatakan, Proton hari ini akhirnya melancarkan secara rasmi Proton e.MAS 5 iaitu kereta elektrik (EV) pertama jenama nasional yang digelar sebagai EV mampu milik untuk rakyat Malaysia. Ia dipasang di Tanjung Malim hasil kerjasama dengan Geely dan sejak tempahan dibuka pada 4 Oktober lalu, 5,000 tempahan berjaya dicatatkan.
Dikuasakan motor elektrik 85kW dengan tork 150Nm, pacuan roda belakang ini mampu pecut 0–50km/j dalam 3.9 saat dengan jarak pemanduan hingga 325km (WLTP). Bateri jenis LFP dari CATL boleh dicas pantas 30% ke 80% dalam 21 minit menggunakan pengecas DC.
Bahagian dalam tampil moden dengan skrin utama 14.6 inci Full HD, panel instrumen 8.8 inci digital, sistem ATLAS Auto yang menyokong arahan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay wayarles. Pengguna juga boleh kawal atau semak status kenderaan melalui aplikasi Proton e.MAS.
Untuk keselamatan, e.MAS 5 lengkap dengan 12 fungsi bantuan pemanduan (ADAS) termasuk Adaptive Cruise Control, Forward Collision Warning dan Blind Spot Detection. Ruang dalaman pun luas dengan but 375L dan boleh dibesarkan hingga 1,320L ditambah frunk 70L dan 32 ruang simpanan kecil di sekeliling kabin.
Berikut harga rasmi atas jalan tanpa insurans:
| Varian | Semenanjung | Sabah & Sarawak | Harga Promosi (Rebat RM3,000) |
|---|---|---|---|
| Prime | RM59,800 | RM62,800 | RM56,800 (Semenanjung) |
| Premium | RM72,800 | RM75,800 | RM69,800 (Semenanjung) |
Setiap pembelian turut disertakan Power Packs bernilai sehingga RM8,000 termasuk pengecas rumah 7kW percuma, rebat tukar beli, data internet tanpa had 5 tahun, kadar pembiayaan rendah 1.98% dan diskaun khas untuk pemilik Proton sedia ada. Tawaran sah hingga 31 Disember 2025 atau 31 Januari 2026 bergantung kategori.
Proton e.MAS 5 disertakan waranti 6 tahun tanpa had perbatuan manakala bateri dan komponen voltan tinggi dilindungi selama 8 tahun atau 160,000km. Model ini sudah mula dijual di semua pengedar Proton terpilih seluruh Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

