PRO-NET yang merupakan anak syarikat PROTON, hari ini merasmikan hab pengecasan pantas DC pertamanya di bangunan pentadbiran PROTON Tanjung Malim. Kemudahan ini dilengkapi dua pengecas DC dengan empat petak pengecasan berkuasa output 120kW yang membenarkan sehingga empat kenderaan elektrik dicas serentak.
Ia juga merupakan infrastruktur pertama yang diurus sepenuhnya oleh PRO-NET tanpa bergantung pada pengendali pihak ketiga yang sekali gus memberi kawalan lebih baik terhadap harga, kebolehcapaian dan pengalaman pengguna. Hab pengecasan dibuka kepada semua pemilik EV tanpa mengira jenama selepas menerima kelulusan Lesen ST EVCS.
Menariknya, pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi, hanya imbas kod QR untuk memulakan pengecasan dan membuat pembayaran melalui pelayar web. Pemilik Proton e.MAS dan smart masih boleh menggunakan aplikasi e.MAS dan Hello smart. Kadar caj ditetapkan pada RM0.80 setiap kWh (antara yang terendah di Malaysia).
Sempena pelancaran, semua pengguna menikmati diskaun 50 peratus sepanjang Oktober 2025 menjadikan kadar hanya RM0.40 setiap kWh. Tanjung Malim akan menjadi pusat pemasangan EV tempatan pertama yang mewujudkan peluang pekerjaan, melatih bakat tempatan dan mengukuhkan lagi ekosistem EV Malaysia.
Proton e.MAS yang diperkenalkan pada Jun 2024 pula kekal sebagai jenama kenderaan elektrik kebangsaan pertama dengan misi memperluas mobiliti lestari melalui inovasi dan kebolehpercayaan bertaraf antarabangsa. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

