Site icon TechNave BM

Qualcomm lancarkan cipset Snapdragon XR2 Gen 2 dan AR1 Gen 1 untuk set kepala VR dan AR

Qualcomm telah melancarkan cipset baharu yang dikhaskan untuk set kepala realiti maya (virtual reality, VR) dan realiti tambahan (augmented reality, AR) bagi membantu syarikat teknologi dalam menghasilkan peranti dengan prestasi yang lebih pantas.

Salah satu daripada cipset baharu ini ialah Snapdragon XR2 Gen 2 yang boleh digunakan dalam peranti VR dan realiti campuran (mixed reality, MR). Ia menawarkan prestasi grafik yang lebih tinggi sebanyak 2.5 kali ganda dan prestasi AI lebih tinggi sebanyak 8 kali ganda berbanding Snapdragon XR2 yang digunakan dalam PICO 4 VR.

Selain itu, ia turut menyokong penggunaan sehingga 10 sensor dan kamera, dua paparan 3K dan pemprosesan imej Spectra. Kameranya boleh melihat persekitaran dalam warna sebenar, manakala hubungan wayarles pula menyokong Wi-Fi 7.

Sementara itu, Snapdragon AR1 Gen 1 pula dikhaskan untuk set kepala yang lebih ringan seperti cermin mata pintar. Ia membenarkan pengguna untuk merakam video, membuat siaran langsung (live streaming), membuat pencarian dengan bantuan visual dan penterjemahan dalam masa nyata.

Cipset ini boleh menjana visual pada skrin dengan resolusi 1280×1280. Pengguna boleh mengambil gambar dalam resolusi 12MP atau video dalam resolusi 6MP, manakala pemprosesan imej (ISP) 14-bit pula menawarkan fungsi seperti Computational HDR, Portrait Mode, Auto-face Detection dan Auto Exposure.

Meta akan membangunkan set kepala pertama yang dilengkapi dua cipset baharu ini. Snapdragon XR2 Gen 2 akan dilengkapkan dalam Meta Quest 3, manakala Snapdragon AR1 akan dilengkapkan dalam Ray-Ban Meta Smart Glasses.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Qualcomm

Exit mobile version