fbpx
More

    Ulasan PICO 4 VR – Set kepala VR sempurna untuk orang ramai

    Sejak Mark Zuckerberg mengubah nama syarikatnya daripada Facebook kepada Meta, industri realiti maya (virtual reality, VR) semakin mendapat perhatian yang tinggi daripada masyarakat umum termasuklah rakyat Malaysia. Lebih ramai orang kini ingin mendapatkan sepasang set kepala VR bagi mencuba sendiri pengalaman VR yang membenarkan pemakai untuk “berpindah” ke alam yang lain, seolah-olah dalam filem Ready Player One.

    Sungguh pun begitu, set kepala VR sukar dibeli kerana ia agak mahal dan syarikat kelengkapan VR seperti Oculus tidak menjual produknya secara rasmi di Malaysia. Mujur sekali sebuah syarikat VR dari China, PICO, telah melancarkan set kepala VR di Malaysia secara rasmi yang dikhaskan untuk pengguna umum dan dijual pada harga mampu milik iaitu PICO 4 VR. Untuk ketahui sama ada set kepala ini sesuai untuk anda, ayuh baca ulasan ini.

    Daripada segi luaran, PICO 4 mempunyai rekaan yang berbeza berbanding kebanyakan set kepala VR yang selalunya mempunyai bentuk besar di bahagian hadapan mata. Set kepala PICO 4 dibahagikan kepada dua komponen utama, iaitu bahagian hadapan yang menempatkan lensa, cipset dan komponen elektronik, serta bahagian belakang yang menempatkan bateri.

    PICO 4 daripada depan
    PICO 4 daripada sisi
    Bahagian belakang, dengan tombol untuk mengetatkan pendakap

    Pada pendapat saya, ini adalah kelebihan utama pada PICO 4 kerana dengan memisahkan bateri di belakang dan komponen lain di hadapan, ini membuatkan set kepala ini lebih seimbang di atas kepala dan sangat selesa dipakai. Dalam set kepala VR lain seperti Oculus Quest 2, semua komponen berada di bahagian hadapan, membuatkannya berat sebelah dan menyakitkan muka jika dipakai dalam tempoh yang lama. Masalah ini tidak timbul dengan PICO 4, walaupun berat set kepala ini tidak banyak beza dengan Quest 2.

    Untuk memakai PICO 4 pula, ia mempunyai sepasang pendakap plastik yang keras di bahagian sisi dan saiznya boleh dilaraskan menggunakan tombol di bahagian belakang, serta tali pengetat (tightening strap) di bahagian atas. Dengan pendakap plastik yang keras ini, membuatkan PICO 4 lebih tahan lama walaupun jika anda sering mengubah saiznya. Berbeza dengan Quest 2 yang sekadar menggunakan tali lembut, dan mungkin boleh putus selepas digunakan selama beberapa tahun.

    Pendakap di bahagian sisi ini dibuat daripada plastik yang kukuh
    Kusyen yang selesa di keliling lensa
    Kusyen tebal di bahagian belakang
    Selesa dipakai untuk tempoh yang lama

    Terdapat juga kusyen yang tebal di sekeliling lensa serta di bahagian belakang untuk meningkatkan lagi keselesaan pemakai. Daripada segi keselesaan, saya berpendapat PICO 4 adalah set kepala VR yang sangat cemerlang dan tiada tandingan setakat ini.

    Untuk berinteraksi dengan realiti maya yang dipaparkan, PICO 4 didatangkan dengan sepasang pengawal (controller) yang ringan dan sangat ergonomik. Pengawal ini mempunyai gegelung besar yang bertujuan untuk melindungi tangan anda daripada terlanggar sesuatu sewaktu anda bermain game. Jika dilihat pada satu belah pengawal, butangnya terdiri daripada dua pemicu (triggers) untuk jari telunjuk dan jari hantu, manakala ibu jari boleh menekan kayu analog (analog stick) dan empat butang.

    Pengawal ini menggunakan dua bateri jenis AA untuk satu belah, jadi anda memerlukan empat bateri AA untuk menggunakan pengawal ini sepenuhnya. Ini adalah hal yang agak leceh kerana pengawal VR lain seperti Quest 2 hanya menggunakan satu bateri AA untuk sebelah pengawal.

    Pengawal (controller) PICO 4
    Cara memegang
    Dua pemicu untuk jari telunjuk dan jari hantu

    Kini mari beralih kepada penggunaannya. Jika anda tidak pernah menggunakan set kepala VR sebelum ini, usah risau kerana PICO 4 menyediakan proses permulaan dan pendaftaran yang sangat mesra pengguna. Anda hanya perlu pakai PICO 4, laraskan saiznya mengikut kepala, hidupkan suis kemudian segala arahan akan dipaparkan pada lensa.

    Perlu diingati bahawa anda perlu mencipta sebuah akaun PICO untuk mengaktifkan set kepala ini. Walaupun PICO adalah syarikat yang berada di bawah naungan ByteDance yang turut memiliki TikTok, anda tidak boleh gunakan akaun TikTok untuk mengaktifkan PICO 4.

    Antara muka (user interface, UI) PICO 4
    Pelbagai aplikasi dan game dijual dalam PICO Store, namun harganya agak mahal

    Sebaik sahaja anda berada dalam menu utama, anda boleh akses pelbagai jenis aplikasi atau kandungan video yang disediakan oleh PICO. Untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan teknologi VR, saya cadangkan anda untuk melayari PICO Video bagi menikmati suasana video 360 darjah.

    PICO 4 mempunyai lensa beresolusi 4K (2160 x 2160 untuk satu lensa), membenarkan anda untuk tonton video dengan butiran yang amat tinggi. Jika kelajuan internet anda cukup laju, anda boleh aktifkan mod 8K dalam PICO Video untuk kualiti video yang lebih jelas.

    Boleh tonton pelbagai video menarik dalam PICO Video
    Boleh “hidup” bersama meerkat di Afrika dengan video 360 darjah dalam PICO Video

    Bercakap tentang menonton video, satu kekurangan PICO pada waktu ini adalah ia tidak menyediakan aplikasi penstriman video yang popular, terutamanya YouTube dan Netflix. Anda boleh tonton video TikTok dalam aplikasi PICO Video, namun format video menegak dalam TikTok bukanlah sesuatu yang menarik dalam set kepala VR. PICO menjelaskan bahawa mereka akan menambah dua aplikasi tersebut pada masa akan datang, namun pada waktu penulisan ulasan ini, ia masih tiada.

    Satu perkara unik yang saya gemar pada PICO 4 adalah kebolehan untuk melihat luar daripada lensa dengan Seethrough Mode. Set kepala ini mempunyai lima kamera di bahagian hadapan bagi membenarkan pemakai melihat suasana persekitaran, tanpa menanggalkan set kepala. Ciri ini sudah standard dalam set kepala lain, namun PICO 4 membenarkan anda untuk melihat sekeliling dengan warna sebenar, berbeza dengan set kepala lain yang sekadar melihat dalam hitam putih sahaja.

    Seethrough Mode membenarkan anda untuk lihat apa yang ada di hadapan anda dengan warnanya, tanpa perlu menanggalkan PICO 4
    Bintik-bintik hitam di sekeliling PICO 4 ini adalah kamera untuk digunakan dalam Seethrough Mode

    Kini mari beralih kepada prestasi gaming. Anda boleh bermain game secara terus dalam set kepala ini, atau menghubungkannya dengan sebuah komputer jika anda ingin mainkan game dengan grafik yang lebih tinggi atau platform berlainan seperti SteamVR.

    Jika anda bermain game secara terus dalam set kepala ini, PICO menjual pelbagai game dalam PICO Store namun pada waktu penulisan, katalog game yang ditawarkan agak kecil dan game VR popular seperti Beat Saber dan Half-Life Alyx tidak dijual. Harga game juga agak mahal kerana nilai mata wangnya ditukar secara terus daripada harga negara lain.

    Menggunakan dua pistol untuk menembak zombi dalam game After The Fall
    Kualiti grafiknya bukanlah yang terbaik, namun kadar bingkai (frame rate) adalah sangat lancar
    Boleh memanah syaitan dalam game In Death: Unchained

    PICO Malaysia telah memberikan beberapa game kepada saya untuk menguji set kepala ini dan semuanya berfungsi dengan menarik. Game kegemaran saya ialah After The Fall iaitu sebuah game tembak-menembak yang membenarkan saya untuk menggunakan pengawal PICO 4 seperti pistol. Tahap grafiknya mungkin agak rendah jika dibandingkan dengan komputer atau konsol, namun memandangkan set kepala ini boleh memainkan game ini dengan lancar tanpa perlu dipautkan kepada komputer luaran, saya sudah berpuas hati dengan grafik yang dihasilkan.

    Untuk kualiti grafik yang lebih tinggi, saya nasihatkan anda untuk hubungkannya dengan komputer. PICO 4 boleh dimainkan dengan game yang sudah dibeli dalam SteamVR secara wayarles atau berwayar, menggunakan perisian PICO Streaming Assistant yang boleh dimuat turun dan dipasang dalam komputer. Saya memainkan game SteamVR seperti game sosial VRChat serta game jet pejuang Project Wingman dan saya amat berpuas hati dengan prestasi PICO 4.

    SteamVR boleh diakses dengan PICO 4
    Game Project Wingman. Dengan PICO 4, saya boleh berangan jadi juruterbang macam dalam filem Top Gun Maverick
    Misil mengena jet musuh!
    Game VRChat

    Kualiti audio yang dihasilkan daripada pembesar suara dalaman PICO 4 adalah sekadar memuaskan. Lebih baik anda pautkan sepasang fon telinga atau fon kepala untuk pengalaman audio yang jauh lebih baik untuk anda nikmati dunia VR. Perlu diingati bahawa PICO 4 tidak mempunyai bicu audio 3.5mm, jadi anda perlu pautkan melalui Bluetooth atau gunakan fon telinga dengan port USB-C.

    Hayat bateri PICO 4 pula agak standard untuk sebuah set kepala VR. Ia mempunyai bateri berkapasiti 5,300mAh dan boleh bertahan lebih dua jam jika digunakan secara berterusan, tidak banyak beza dengan jenama lain. Akan tetapi PICO 4 menyokong pengecasan pantas 20W dan baterinya boleh dicas penuh dalam masa sekitar sejam 15 minit. Lebih baik, sebuah pengecas 20W turut disertakan dalam kotak PICO 4.

    Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan PICO 4 dan saya sangat menggalakkannya jika anda ingin melibatkan diri dalam ekosistem VR. Rekaan yang selesa, antara muka (UI) mesra pengguna, kualiti visual cantik dan prestasi gaming lancar membuatkannya set kepala yang sangat berbaloi. 

    Malah, harganya yang mampu milik iaitu RM1,699 untuk kapasiti storan 128GB membuatkan set kepala VR ini sesuai dibeli oleh orang umum. Ia juga terdapat dalam kapasiti 256GB yang berharga RM1,999 jika anda ingin memasang lebih banyak game. Sungguh pun begitu, katalog game yang kecil serta ketiadaan aplikasi YouTube dan Netflix mungkin akan menghampakan sejumlah pengguna.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Sepasang lensa pancake dengan resolusi 4320×2160 piksel (2160×2160 piksel untuk satu lensa)
    • Kadar segar semula 72Hz atau 90Hz
    • Sudut penglihatan 105 darjah
    • Cipset Qualcomm XR2
    • RAM 8GB
    • Storan 128GB atau 256GB
    • Sokongan Wi-Fi 6, dwi-jalur 2.4GHz atau 5GHz
    • Sokongan Bluetooth 5.1
    • Pembesar suara stereo, mikrofon
    • Bateri 5,300mAh
    • Pengecasan pantas 20W
    • Sistem operasi PICO OS 5.0

    Kelebihan: Selesa, prestasi lancar, kualiti video yang tinggi, pengecasan pantas untuk bateri

    Kekurangan: Memerlukan banyak bateri AA untuk pengawal, katalog game yang kecil, tiada beberapa aplikasi popular seperti Netflix

    Kesimpulan: Set kepala yang lengkap untuk mereka yang ingin mencuba VR buat kali pertama

     

    Artikel Terkini

    Malaysia rekodkan 17.5 juta pengguna 5G, liputan rangkaian kini melebihi 82%

    Menteri Komunikasi Digital, Gobind Singh Deo, hari ini mengumumkan bahawa jumlah pengguna rangkaian 5G di Malaysia telah mencecah 17.5 juta dan meliputi...

    Haier Malaysia perkenalkan produk baharu untuk 2025, mahu buka 75 kedai jenama

    Haier Malaysia hari ini mengadakan Persidangan Pengedar Asia Tenggara 2024 bagi mengimbau kembali pencapaian jenama perkakasan elektronik itu sepanjang tahun ini, serta...

    WhatsApp tidak lagi sokong iPhone lama dan peranti dengan iOS 11 ke bawah

    WhatsApp mengumumkan bahawa bermula Disember 2024, aplikasi ini tidak lagi menyokong beberapa model iPhone lama yang menjalankan sistem operasi iOS 11 atau...

    Malaysia perluaskan kemudahan “autogate” untuk pelawat dari 60 negara

    Jabatan Imigresen Malaysia telah memperluaskan kemudahan autogate untuk urusan keluar masuk ke negara ini kepada pelawat dari 53 lagi negara, kata Timbalan...

    Siri HONOR 300 dilancar dengan cipset Snapdragon dan pengecasan pantas 100W bermula ~RM1,410

    HONOR baru sahaja melancarkan telefon pintar dalam siri 300 yang menampilkan tiga model utama iaitu HONOR 300, HONOR 300 Pro dan HONOR...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Shokz OpenRun 2 – Pilihan premium untuk gaya hidup aktif

    Shokz OpenRun Pro 2 adalah model terbaharu daripada Shokz untuk barisan peranti sukan. Ia mengukuhkan kelebihan model sebelumnya untuk memberikan pengalaman yang...

    Ulasan Edifier X5 Pro – TWS serba boleh dengan ANC asas

    Seiring berjalannya waktu, semakin banyak ciri-ciri utama yang dahulunya hanya terdapat pada peranti flagship kini boleh didapati pada peranti kelas pertengahan dan...
    X