Syarikat semikonduktor Qualcomm mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan cipset andalan (flagship) seterusnya yang dinamakan Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5. Ia akan dilancarkan dalam acara 2025 Snapdragon Summit yang berlangsung pada 23-25 September 2025.
Qualcomm juga memberikan penjelasan tentang nama cipset baharu ini yang agak pelik. Sebagai rujukan, cipset andalan Qualcomm sebelum ini yang dilancar pada akhir 2024 dinamakan sebagai “Snapdragon 8 Elite” dan cipset sebelumnya yang dilancar pada akhir 2023 pula dinamakan sebagai “Snapdragon 8 Gen 3”.
Mereka mengatakan penamaan baharu ini akan memudahkan proses menamakan produk-produk Qualcomm yang akan datang, termasuklah untuk siri cipset Snapdragon.
Ramai menjangkakan cipset andalan Qualcomm yang seterusnya ialah Snapdragon 8 Elite Gen 2 selepas mereka memperkenalkan Snapdragon 8 Elite pada tahun lalu, namun Qualcomm melawan jangkaan umum dengan menamakan cipset seterusnya sebagai Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Sebagai rujukan, berikut adalah siri penamaan cipset Qualcomm sejak 2021:
- 2021: Snapdragon 8 Gen 1
- 2022: Snapdragon 8 Gen 2
- 2023: Snapdragon 8 Gen 3
- 2024: Snapdragon 8 Elite
- 2025: Snapdragon 8 Elite Gen 5
Ada juga yang mengandaikan Qualcomm tidak menggunakan nama “Snapdragon 8 Gen 4” untuk cipset andalan yang dilancar pada 2024 kerana mereka ingin mengelakkan nombor “4” dalam nama produk mereka yang dianggap sebagai nasib buruk dalam kepercayaan masyarakat China. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak disahkan oleh Qualcomm.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo

