Site icon TechNave BM

Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 mungkin akan dilancar pada 14 November 2022

Qualcomm telah mengumumkan tarikh untuk temasya Snapdragon Summit 2022 iaitu pada 14 hingga 17 November 2022. Memandangkan Qualcomm selalunya memperkenalkan cipset telefon pintar andalan (flagship) dalam temasya ini pada setiap tahun, Snapdragon 8 Gen 2 mungkin akan dilancar pada tarikh tersebut.

Ini bakal menjadi cipset telefon andalan kedua oleh Qualcomm selepas ia menjenamakan semula cipsetnya dengan nama Snapdragon 8 Gen 1. Sebelum ini, ia kerap menggunakan jenama siri Snapdragon 800 untuk memasarkan cipset kategori andalan.

Setakat ini masih tidak banyak yang diketahui tentang Snapdragon 8 Gen 2, selain daripada jangkaan untuk prestasi dan kecekapan tenaga yang lebih baik daripada Snapdragon 8 Gen 1.

Sebelum ini, pengkhabar berita teknologi Digital Chat Station mengatakan cipset itu bakal mempunyai susunan teras CPU 1+2+2+3, terdiri daripada satu teras Cortex-X3, dua teras Cortex-A720, dua teras Cortex-A710 dan tiga teras Cortex-A510. Ia akan dibina dengan nod proses 4nm oleh TSMC dan mempunyai GPU Adreno 740.

Baru-baru ini, Qualcomm telah melancarkan cipset Snapdragon 8+ Gen 1 yang menawarkan prestasi lebih tinggi sedikit berbanding Snapdragon 8 Gen 1, dan ia bakal dilengkapi dalam telefon berprestasi tinggi seperti ROG Phone 6 dan OPPO Reno8.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Headlines

Exit mobile version