Razer mungkin telah mengeluarkan banyak peranti gaming tetapi tidak terfikir untuk syarikat itu akan menghasilkan jam tangan pintar khas untuk gamers. Ia dinamakan Razer X Fossil Gen 6. Sebagai jam tangan pintar edisi terhad, jam tangan pintar Razer X Fossil Gen 6 nampaknya dilancarkan secara global bulan ini dengan harga $329 (~RM1382) dalam kuantiti terhad iaitu hanya 1337 unit.
Untuk pengetahuan anda, Gen 6 ialah jam tangan pintar pertama yang dikuasakan oleh Platform Snapdragon Wear 4100+ oleh Fossil. Berbanding dengan generasi sebelumnya, ia mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan sebanyak 30% dalam kelajuan dan masa muat aplikasi. Ia juga menggunakan sistem operasi Wear OS by Google malah mempunyai inisiatif kesihatan khusus untuk gamers.
Jam Pintar Razer X Fossil Gen 6 menampilkan sarung hitam 44mm, tiga jenis muka jam eksklusif dan elemen antara muka Razer. Turut disertakan dua tali silikon 22mm yang direka khas dan boleh ditukar ganti dalam warna hitam dan hijau ikonik Razer. Ini adalah spesifikasi penuh bagi jam tangan pintar Razer X Fossil Gen 6:
- Penjejakan Tidur dan peningkatan kelajuan pengecasan bateri
- Pengesan kesihatan ditingkatkan
- Penjejakan kesihatan bebas tangan (hands-free)
- Kalis renang (sehingga 3 ATM)
- Kesambungan: Bluetooth 5.0 LE, Wi-Fi, GPS, NFC SE
- Sensor: Accelerometer, Giroskop, Kompas, Altimeter, Kadar Jantung PPG, SpO2, IR luar badan, Cahaya Ambien
- 1GB RAM dan 8GB storan
Walaupun ia tidak tersedia di pasaran Malaysia, namun anda melawat laman rasmi Razer dan Fossil untuk maklumat lanjut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan peranti ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

