Site icon TechNave BM

realme C35 akan dilancar pada 10 Februari 2022, dilengkapi skrin 6.6 inci dan bateri 5,000mAh

realme bakal melancarkan telefon pintar kelas permulaan terbaru iaitu realme C35 pada hari Khamis, 10 Februari 2022 di Thailand. Sebelum ini, ia telah pun menerima pengiktirafan National Broadcasting and Telecommunications (NBTC) Thailand dan realme turut berkongsi beberapa spesifikasi utama untuk telefon tersebut.

realme C35 bakal dilengkapi skrin berukuran 6.6 inci dengan resolusi FullHD+, manakala spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Unisoc T616, bateri 5,000mAh, pengecasan 18W, RAM 4GB dan sistem operasi Android 11.

Satu ciri yang menarik adalah pada reka bentuknya, di mana rangka di bahagian sisi akan mempunyai permukaan rata seperti dalam iPhone. Untuk fotografi pula, ia bakal mempunyai kamera utama 50MP.

Ciri-ciri lain termasuklah bicu audio 3.5mm dan pengimbas cap jari di bahagian sisi yang turut bertindak sebagai butang kuasa. Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia, kali terakhir siri realme C dilancarkan di sini adalah pada November 2021 untuk realme C25Y.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan realme C35 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: realme Thailand

Exit mobile version