Site icon TechNave BM

realme GT 8 Pro sah bakal dilancar secara global pada 20 November ini

realme dilihat terus agresif dalam memperkukuh barisan telefon mercu mereka. Selepas pelancaran global realme GT 7 Pro pada November 2024 dan realme GT 7 pada April 2025, realme kini bersedia memperkenalkan realme GT 8 Pro secara global pada 20 November 2025.

Menurut laman rasmi realme India, acara pelancaran dijadualkan berlangsung pada tengah hari waktu India (2:30 petang waktu Malaysia). Walaupun belum disahkan sama ada ia akan tiba di pasaran Malaysia pada hari yang sama, trend sebelum ini menunjukkan peluangnya agak tinggi memandangkan realme GT 7 Pro turut dilancarkan di Malaysia hanya dua hari selepas pelancaran global.

realme GT 8 Pro hadir dengan peningkatan ketara berbanding pendahulunya. Ia dikuasakan oleh cip baharu Snapdragon 8 Elite Gen 5, bateri berkapasiti 7000mAh berbanding 6500mAh sebelum ini manakala paparan pula dinaik taraf kepada resolusi 1440×3136 piksel dengan kadar segar semula 144Hz.

Bahagian kamera juga menerima perhatian istimewa dengan kamera telefoto 200MP menggantikan sensor 50MP sebelumnya disertai kamera swafoto 32MP yang lebih tajam. Menariknya, sistem kamera kali ini ditala khas oleh Ricoh. realme GT 8 Pro dijangka menjadi antara peranti mercu yang dinantikan oleh peminat Android menjelang hujung tahun ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version