fbpx
More

    Ulasan realme GT 7 Pro – Telefon “flagship” 2025 kini sudah tiba!

    Dengan pelancaran realme GT 7 Pro sebagai telefon pintar pertama yang dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite di Malaysia, segmen telefon andalan (flagship) akhirnya sudah memasuki fasa baharu yang menawarkan prestasi dan kecekapan tenaga yang lebih tinggi berbanding telefon andalan yang dilancar pada awal 2024.

    Para pengguna pasti akan mengharapkan prestasi yang sangat pantas untuk realme GT 7 Pro, jadi dalam ulasan ini kami akan menghuraikan pengalaman kami menggunakan telefon ini selama beberapa minggu. Ayuh lihat sama ada prestasinya mampu mencapai tahap yang dijanjikan:

    Rekaan – Berprofil rendah untuk telefon flagship

    realme GT 7 Pro menampilkan rekaan telefon yang agak ringkas untuk sebuah telefon andalan, mungkin lebih cenderung kepada telefon pintar kelas pertengahan. Bahagian belakangnya mempunyai permukaan matte yang langsung tidak meninggalkan kesan cap jari, manakala bonggol kameranya pula tidak setebal telefon andalan lain yang menawarkan fungsi fotografi lebih canggih (seperti vivo X200 Pro atau OPPO Find X8 Pro).

    Unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna oren-merah yang digelar Mars Design bagi menyerupai warna planet Marikh. Ia mempunyai corak yang agak sukar dijelaskan, nampak seperti lukisan cat air yang telah dicairkan, atau seperti permukaan planet Musytari. Saya perlu akui bahawa ia nampak agak aneh untuk sebuah telefon andalan, namun tidaklah terlalu mengganggu. Ia mempunyai satu lagi pilihan warna iaitu kelabu Galaxy Grey, dan warna itu tidak mempunyai sebarang corak.

    Rekaan belakang realme GT 7 Pro
    Bonggol kamera yang nipis
    Rangka aluminium yang tidak berkilauan
    Apakah pendapat anda tentang coraknya?

    Bahagian rangkanya pula dibuat daripada aluminium yang tidak berkilauan, dan secara keseluruhan, apabila dipegang, ia mempunyai mutu buatan yang rasa kukuh dan setaraf dengan telefon andalan. Beratnya yang sekadar 222 gram sahaja membuatkannya selesa dipegang.

    Seperti kebanyakan telefon andalan masa kini, ia mempunyai rating kalis air IP69 yang bermaksud ia boleh ditenggelamkan sehingga paras kedalaman 2 meter selama 30 minit.

    Spesifikasi – Serba lengkap untuk flagship 2025

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme GT 7 Pro:

    Ringkasan spesifikasi realme GT 7 Pro
    • Skrin AMOLED 6.78 inci, resolusi 2780×1264, kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 6,500 nits, gamut warna DCI-P3 120%, menyokong Dolby Vision, HDR10+
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite
    • RAM 12GB
    • Storan dalaman 512GB
    • Kamera utama 50MP dengan OIS + kamera telefoto 50MP + kamera ultra-lebar 8MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 6,500mAh
    • Pengecasan pantas 120W SUPERVOOC
    • Sistem operasi Android 15 dengan realme UI 6.0
    • Akan menerima kemas kini Android utama selama 3 tahun, kemas kini keselamatan selama 4 tahun
    • Menyokong hubungan wayarles Wi-Fi 7, NFC 360°, Bluetooth 5.4
    • Rating kalis air IP69
    • Pilihan warna Mars Orange atau Titanium Grey
    • Harga: RM3,699

    Sebagai sebuah telefon flagship generasi baharu, realme GT 7 Pro mempunyai segala fungsi dan komponen yang boleh dijangka seperti skrin AMOLED dengan resolusi 1.5K, gamut warna DCI-P3 120%, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 6,500 nits, kamera dengan tiga sensor 50MP dan bateri besar 6,500mAh. Skrinnya boleh menghasilkan imej yang sangat cantik untuk tontonan video, manakala sempadan bezel skrinnya juga sangat nipis dan seragam di keempat-empat sisi.

    Skrin AMOLED yang cantik pada realme GT 7 Pro
    Warna yang cantik untuk bermain game dan menonton filem!

    Bintang utama pastinya adalah cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang dibuat daripada nod proses 3nm TSMC generasi baharu dan menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 45% dan GPU sehingga 40% berbanding Snapdragon 8 Gen 3. Untuk melihat sendiri peningkatan prestasinya, kami akan ulas dalam seksyen Prestasi di bawah. 

    Selain cipset tercanggih oleh Qualcomm, satu lagi fungsi yang mengagumkan saya ialah pengecasan pantas 120W SUPERVOOC yang amat pantas, lebih-lebih lagi dengan pengecas 120W yang turut disertakan dalam kotak. Malangnya, telefon ini tidak menyokong fungsi pengecasan wayarles.

    Seperti kebanyakan telefon flagship yang dilancar pada tahun ini, ia menawarkan beberapa ciri berdasarkan AI seperti AI Recording Summary, AI Smart Loop 2.0, AI Sketch to Image serta beberapa fungsi lain berasaskan fotografi. AI Recording Summary membenarkan anda untuk mencipta ringkasan dalam bentuk teks daripada rakaman audio yang panjang, serta menyediakan transkripsi untuknya. Saya berpendapat ringkasan yang dihasilkan adalah agak tepat, dan transkripsinya juga memang sepadan dengan dialog yang dituturkan, namun setakat ini ia hanya disokong dalam bahasa Inggeris, Cina dan Hindi sahaja.

    AI Smart Loop 2.0 pula membenarkan anda untuk berkongsi fail atau gambar dengan lebih cepat. Anda hanya perlu tekan lama (hold) pada fail yang ingin dikongsi, kemudian seret ke bahagian sisi untuk mengakses roda pilihan aplikasi yang boleh kongsikan fail tersebut, seperti media sosial, aplikasi permesejan, atau carian Google. Untuk lain-lain fungsi AI berasaskan fotografi, saya akan ulas dalam seksyen seterusnya.

    Saya menggunakan AI Recording Summary untuk meringkaskan sebuah video di YouTube, dan hasilnya agak tepat!
    AI Smart Loop 2.0 meringkaskan proses memindahkan fail ke aplikasi lain

    Prestasi – Lompatan yang tinggi berbanding SD 8 Gen 3!

    Tanpa melengahkan masa, ayuh lihat keputusan penanda aras yang kami sudah lakukan untuk realme GT 7 Pro:

    Keputusan penanda aras Geekbench
    Keputusan penanda aras 3D Mark, dengan penstabilan yang memuaskan

    Apa yang agak mengejutkan saya adalah perbezaan antara prestasi Snapdragon 8 Gen 3 dengan Snapdragon 8 Elite boleh dikatakan agak jauh, lebih tinggi berbanding perbezaan antara Snapdragon 8 Gen 3 dengan Snapdragon 8 Gen 2. Ini adalah kerana Snapdragon 8 Elite menggunakan teras CPU Oryon yang sama digunakan dalam cipset Snadragon X Elite untuk komputer, jadi ia boleh menikmati lompatan prestasi yang tinggi berbanding generasi sebelumnya.

    Sebagai perspektif, kita ambil perbezaan antara SD 8 Gen 3 dengan SD 8 Gen 2 dalam Geekbench, perbezaan markah multi-teras hanya sekitar 1,700 iatu markah yang boleh dijangka untuk perbezaan cipset antara satu generasi. Tetapi jika dilihat perbezaan antara SD 8 Elite dengan SD 8 Gen 3, jurang perbezaannya jauh berbeza iaitu sekitar 2,300, menunjukkan peningkatan prestasi yang sangat ketara untuk satu generasi cipset.

    Jadi apakah maksud peningkatan prestasi ini daripada segi kegunaan harian? Pastinya cipset ini akan diperhatikan oleh penggemar game untuk melihat sejauh manakah ia boleh memainkan game, dan suka untuk saya laporkan bahawa realme GT 7 Pro boleh memainkan game dengan sangat cemerlang. Anda boleh pilih tiga tahap prestasi iaitu GT Mode untuk prestasi tertinggi, Balanced Mode untuk prestasi seimbang antara prestasi dengan penggunaan bateri, atau Low Power Mode jika anda ingin utamakan hayat bateri yang lama.

    Saya telah memainkan beberapa game popular yang memerlukan keperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact dan Call of Duty Warzone, dan saya boleh memainkannya pada tetapan grafik tinggi dengan kadar bingkai yang lancar dan sekata. Walaupun saya bermain game secara berterusan selama sejam, prestasinya kekal sekata dan suhunya pula tidak pernah melebihi 40°C.

    Kami sudah pun menerbitkan satu video gaming test dalam YouTube, jika anda mahu lihat dengan lebih terperinci:

    Daripada segi hayat bateri, dengan kapasiti 6,500mAh, realme GT 7 Pro boleh bertahan selama sehari dengan yakin, meski pun anda banyak bermain game sambil mengaktifkan GT Mode. Malah, jika anda merupakan seorang pengguna biasa sahaja, sekadar melayari media sosial, menonton video, mendengar lagu, mengambil beberapa gambar sahaja dan tidak banyak bermain game, baterinya boleh bertahan sehingga sehari setengah.

    Untuk pengecasan, kadar 120W boleh mengecas penuh daripada 0% dalam masa sekitar 40 minit sahaja, iaitu tempoh pengecasan yang sangat cemerlang untuk telefon andalan (walaupun ia telah direndahkan berbanding 240W pada realme GT3). Malangnya, ketiadaan pengecasan wayarles mungkin akan menghilangkan minat sesetengah pengguna terhadap peranti ini.

    Pengecasan daripada 7% hingga 99% mengambil masa 38 minit (1:40pm hingga 2:18pm)

    Kini beralih kepada prestasi kameranya. Dengan tiga sensor Sony IMX 50MP (IMX906 untuk kamera utama, IMX355 untuk kamera ultra-lebar, IMX882 untuk kamera telefoto periksop 3x) realme GT 7 Pro boleh menghasilkan gambar yang cantik dalam setiap situasi. Dalam situasi cahaya yang terang, setiap lensanya boleh menghasilkan gambar dengan butiran yang jelas, jurang dinamik yang bagus untuk kamera telefon, serta penghasilan warna yang natural.

    Dalam situasi malap juga, realme GT 7 Pro boleh menangkap gambar yang memuaskan dengan jumlah noise yang rendah dan butiran mencukupi, namun saya merasakan ia tidak setanding telefon andalan lain yang mempunyai fungsi kamera yang lebih canggih.

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar kamera telefoto, zum 3x
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar Night Mode
    Gambar kamera hadapan
    Gambar kamera hadapan, mod potret

    Ia juga mempunyai kebolehan zum yang agak jauh, iaitu zum optikal sehingga 3x dan zum digital sehingga 120x. Saya berpendapat kualiti gambar sehingga zum 10x masih nampak memuaskan, namun jika anda pergi lebih daripada itu, gambar sudah nampak pecah dan tidak menarik. Ia mempunyai pasca-pemprosesan yang boleh meningkatkan kualiti gambar zum, namun ia nampak aneh dan palsu.

    Untuk suntingan gambar menggunakan AI, fungsi seperti Sketch to Image akan menukarkan sebarang lakaran pada gambar anda kepada objek yang lebih cantik, namun perlu diingati bahawa fungsi ini hanya boleh digunakan sebanyak 10 kali sahaja dalam masa sehari. AI Eraser pula boleh membuang objek atau orang yang tidak diingini dalam gambar, dan hasil pemadamannya kadang-kadang bagus, kadang-kadang tidak. Berbeza dengan AI Unblur yang kononnnya boleh menghasilkan butiran jelas untuk gambar yang kabur, namun saya merasakan ia langsung tidak memenuhi tugas tersebut.

    Fungsi AI Sketch to Image membenarkan saya menambah beca di sebelah saya
    AI Sketch to Image hanya boleh digunakan 10 kali sehari
    Fungsi AI Eraser membenarkan saya memadam gambar individu di latar belakang
    AI Unblur gagal memberikan butiran yang jelas terhadap gambar yang kabur (gambar asal kiri, gambar suntingan Unblur di sebelah kanan)

    Daripada segi video, ia boleh merakam pada resolusi sehingga 8K 24fps dan kualiti videonya nampak cantik. Dengan penstabilan imej optikal (OIS), video yang dirakam dengan kamera utama masih nampak stabil walaupun anda merakam video sambil bergerak. Sungguh pun begitu, video yang dirakam dengan kamera swafoto tidak mempunyai penstabilan yang bagus, jadi ini mungkin akan menjadi satu kekurangan untuk mereka yang gemar merakam vlog.

    Saya sudah pun menghasilkan sebuah vlog yang dirakam menggunakan realme GT 7 Pro sepenuhnya, anda boleh tonton di bawah:

    Kesimpulan – Era flagship baharu kini sudah tiba!

    realme GT 7 Pro telah menyediakan standard yang tinggi untuk telefon-telefon flagship yang akan dilancar pada hujung 2024 serta sepanjang 2025, hasil daripada peningkatan prestasi ketara yang ditawarkan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Jika anda merupakan seorang pengguna yang mengutamakan prestasi terkini, terutamanya untuk bermain game grafik tinggi dengan lancar, realme GT 7 Pro merupakan peranti yang menarik.

    Sungguh pun begitu, jika anda inginkan pakej telefon dengan kamera yang lebih berkuasa atau fungsi-fungsi AI yang lebih versatil, ini bukanlah telefon untuk anda. Pada tahun ini sahaja kita sudah melihat pelancaran vivo X200 Pro dan OPPO Find X8 Pro yang juga dilengkapi cipset tercanggih oleh MediaTek dan Qualcomm, namun memiliki kamera yang mengatasi kebolehan kamera realme GT 7 Pro.

    Oleh yang demikian, jika anda sedang mencari telefon gaming lain sebagai alternatif kepada realme GT 7 Pro, ROG Phone 9 (RM3,999) atau iQOO 13 (RM3,499) adalah produk yang sesuai untuk dipertimbangkan. Malah, ketiga-tiga telefon ini mempunyai Snapdragon 8 Elite, cuma perbezaannya mungkin daripada segi rekaan.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Disney+ kehilangan 700,000 pelanggan kerana kenaikan harga langganan

    Disney+ kehilangan 700,000 pelanggan di seluruh dunia dalam beberapa bulan terakhir menurut laporan kewangan suku pertama 2025 syarikat itu. Kini, Disney+ mempunyai...

    OPPO Find N5 bakal dilancar sebagai telefon boleh lipat paling nipis, skrin tanpa lipatan

    Peranti boleh lipat terbaharu OPPO Find N5 dijangka dilancarkan secara rasmi sekitar 20 Februari ini. Walaupun OPPO masih belum mengesahkan tarikh rasmi,...

    iPhone SE 4 mungkin dilancarkan seawal minggu hadapan

    Menurut laporan daripada Mark Gurman di Bloomberg, Apple dijangka memperkenalkan iPhone SE generasi seterusnya seawal minggu hadapan dengan pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung...

    ROG Phone 9 FE dilancar: SD 8 Gen 3, LTPO AMOLED 6.78″ dan GameCool8...

    ASUS secara rasmi telah melancarkan ROG Phone 9 FE yang merupakan tambahan model dalam siri ROG Phone 9. Peranti ini dilancarkan di...

    Samsung atasi Intel untuk jadi pengeluar cip terbesar dunia pada 2024

    Firma penyelidikan dan perundingan teknologi Amerika, Gartner, baru-baru ini menerbitkan data industri semikonduktor global bagi tahun 2024 yang mendedahkan bahawa Samsung Electronics...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan OPPO Reno13 F 5G – Anggun luaran, tegap dalaman!

    Pada 7 Januari lalu, OPPO mencipta sejarah dengan menganjurkan Pertunjukan Fesyen Teknologi Kolam Renang yang pertama di Malaysia yang juga menjadi sebahagian...