Site icon TechNave BM

realme GT Neo akan dilancar pada 31 Mac, telefon pertama dengan Dimensity 1200

Selepas melancarkan realme GT yang dilengkapi cipset Snapdragon 888, kini realme akan melancarkan sebuah lagi telefon pintar andalan (flagship) iaitu realme GT Neo yang dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 1200 pula.

Telefon pertama yang dilengkapi cipset andalan MediaTek itu bakal dilancar secara rasmi pada 31 Mac, jam 2:30 petang waktu China. Poster rasmi yang menjelaskan tarikh pelancaran itu menunjukkan rupa realme GT Neo yang agak berlainan dengan realme GT, di mana realme GT Neo mempunyai slogan “Dare To Leap” di belakangnya dan mempunyai warna yang lebih terang.

Dimensity 1200 merupakan cipset tercanggih yang dihasilkan oleh MediaTek setakat ini, dibuat dengan proses 6nm dan mempunyai lapan teras CPU yang menawarkan prestasi lebih tinggi sebanyak 22% dan kecekapan tenaga sebanyak 25% berbanding Dimensity 1000.

Sebelum ini, sebuah peranti realme dengan nombor model RMX3116 telah diiktiraf oleh kerajaan China di mana ia dilengkapi skrin 6.55 inci, dwi-bateri 2,200mAh, pengecasan pantas 65W dan sistem operasi Android 11. Telefon ini mungkin adalah realme GT Neo yang akan dilancar pada hujung bulan ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: ITHome

Exit mobile version