Site icon TechNave BM

realme GT5 Pro akan dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 3, skrin dengan kecerahan 3,000 nits

Selepas siri Xiaomi 14 menjadi telefon pertama yang dilengkapi Snapdragon 8 Gen 3, kini realme pula mengumumkan bahawa telefon pintar andalannya yang akan datang, realme GT5 Pro, bakal dilengkapi cipset tersebut. Ini bermaksud ia boleh menjana prestasi yang sangat pantas, setaraf dengan telefon kategori andalan (flagship) untuk 2024.

Selain cipset tercanggih oleh Qualcomm itu, realme GT5 Pro akan turut mempunyai skrin dengan kecerahan puncak mencecah 3,000 nits, membuatkannya mudah dilihat walaupun di bawah cahaya matahari terik. Skrin ini mungkin mempunyai panel yang dibina oleh BOE, kerana mereka baru sahaja memperkenalkan panel 3,000 nits yang dibina dengan kerjasama OPPO dan OnePlus.

Kenyataan oleh Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) realme berkenaan skrin 3,000 nits dalam realme GT5 Pro

Memandangkan realme adalah sebuah syarikat yang turut berada bawah BBK Electronics (mereka turut memiliki OPPO dan OnePlus), logik untuk kita andaikan bahawa realme GT5 Pro menggunakan panel tersebut. Selain itu, siri iQOO 12 juga mempunyai skrin dengan kecerahan puncak 3,000 nits.

Buat masa ini, realme masih belum mendedahkan tarikh pelancaran untuk realme GT5 Pro. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version