Site icon TechNave BM

Redmi K40 Game Enhanced Edition sah dilengkapi cipset Dimensity 1200

Sebelum ini, peranti gaming Redmi K40 Game Enhanced Edition sudah pun mempunyai tarikh pelancaran rasmi iaitu pada hari Selasa, 27 April. Dengan tarikh yang semakin hampir, Redmi kini telah pun mengesahkan bahawa telefon tersebut akan dilengkapi cipset andalan MediaTek Dimensity 1200.

Telefon ini telah pun dikhabarkan sejak awal bulan April di mana ia akan dilengkapi cipset Dimensity 1200. Hari ini, Redmi telah pun mengesahkan khabar tersebut melalui satu poster yang telah dimuat naik ke dalam Weibo.

Cipset Dimensity 1200 merupakan cipset tercanggih yang dihasilkan oleh MediaTek setakat ini. Cipset yang dilancar pada Januari 2021 ini dibuat dengan proses 6nm, menyokong skrin dengan kadar segar semula sehingga 168Hz, fotografi 200MP dan rakaman 4K HDR.

Ia mempunyai lapan teras CPU yang terdiri daripada satu teras ARM Cortex-A78 3GHz, tiga teras super ARM Cortex-A78 dan empat teras Cortex-A55 manakala GPU pula adalah sembilan teras ARM Mali-G77.

Redmi K40 Game Enhanced Edition bakal menjadi telefon kedua yang dilengkapi Dimensity 1200 selepas realme GT Neo yang dilancar pada Mac lalu. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Redmi K40 untuk gaming ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version