Site icon TechNave BM

Redmi Turbo 3 akan dilancar pada 10 April 2024, bakal dilengkapi Snapdragon 8s Gen 3

Selepas pelbagai khabar angin mengenainya, kini Xiaomi mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar Redmi Turbo 3 di China pada hari Rabu, 10 April 2024 jam 7:00 malam (sama waktu dengan Malaysia). Perkara tersebut diumumkan dalam media sosial Weibo, di mana mereka memuat naik poster yang turut menunjukkan rekaan telefon tersebut.

Telefon ini bakal ditawarkan dalam tiga warna iaitu beige, hijau dan hitam. Bahagian belakangnya menempatkan dua lensa dan satu lampu denyar LED, manakala bahagian sisi pula nampak rata sahaja.

Xiaomi turut berkongsi beberapa spesifikasi asas mengenai telefon tersebut, seperti cipset Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3 yang baru dilancar pada bulan lalu, RAM 16GB, storan dalaman 1TB dan sistem operasi Xiaomi HyperOS.

Sewaktu bermain game pula, ia mempunyai Rage Engine 3.0 yang boleh menjana grafik pada resolusi 1.5K dan teknologi kecerdasan buatan untuk meningkatkan prestas gaming.

Mereka turut berkongsi markah penanda aras AnTuTu untuk Redmi Turbo 3, di mana ia mendapat markah 1,754,299 mata. Ini membuatkannya setaraf dengan pelbagai telefon andalan (flagship) pada tahun ini seperti Samsung Galaxy S24+, HONOR Magic6 Pro dan OnePlus 12.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version