Model seterusnya dalam siri Turbo Xiaomi semakin hampir dilancar apabila Redmi Turbo 5 dikesan dalam pangkalan data pensijilan radio China. Menurut maklumat terkini, Redmi Turbo 5 akan menampilkan paparan OLED rata dengan bucu melengkung, menyokong resolusi 1.5K dan dilengkapi pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin.
Ini adalah peningkatan ketara berbanding Turbo 4 yang menggunakan penderia optikal. Redmi Turbo 5 turut akan disertakan bateri silikon berkapasiti besar 9,000mAh dengan pengecasan pantas 100W menjadikannya antara telefon paling tahan lama dalam kelasnya.
Reka bentuknya dikatakan mengekalkan gaya minimalis seperti pendahulu, namun kini menawarkan tahap kalis air penuh, berkemungkinan dengan penarafan IP68 atau IP69. Walaupun cip pemproses belum disahkan, laporan awal menjangkakan Turbo 5 akan dikuasakan oleh cipset Dimensity 8500 Ultra yang dijangka debut menerusi OPPO Reno 15 Pro pada November ini.
Menurut sumber yang sama, Redmi Turbo 5 akan dilancarkan di China pada suku pertama 2026 dengan versi global berkemungkinan diperkenalkan sebagai Poco X8 Pro dalam tempoh yang sama. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo

