HONOR bakal lancarkan telefon lipat HONOR Magic V5 di China pada 2 Julai 2025 dan kini syarikat teknologi China itu telah mendedahkan rekaannya. Mereka juga mengesahkan bahawa ia akan dilancar untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat, namun tarikh spesifiknya masih belum diketahui.
Seperti HONOR Magic V3 pada tahun lalu, Magic V5 mempunyai rekaan yang nipis, dengan ketebalan maksimum 8.8mm sahaja apabila ia dilipat.
Sebagai rujukan, ini ialah ketebalan sama dengan HONOR Magic7 Pro iaitu telefon flagship dengan rekaan standard. Sungguh pun begitu, HONOR masih belum dedahkan ketebalan Magic V5 sewaktu skrinnya dibuka. Untuk Magic V3 pada tahun lepas, ia mempunyai ketebalan 9.3mm apabila dilipat dan 4.4mm apabila dibuka.
Telefon ini bakal mempunyai warna emas, manakala di bahagian belakangnya terdapat permukaan bertekstur.
Bonggol kameranya pula menempatkan tiga sensor, besar kemungkinan kamera utama, kamera ultra-lebar dan kamera telefoto periskop. Kamera telefotonya mungkin menggunakan sensor 200MP.
HONOR masih belum umumkan spesifikasi penuh untuk telefon lipat ini. Ia dikhabarkan bakal mempunyai skrin utama 8 inci dan skrin luaran 6.45 inci, cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite Leading Version, bateri 6,100mAh dan pengecasan pantas 66W.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

