Site icon TechNave BM

Rekaan Samsung Galaxy Z Flip4 tertiris, tidak banyak berbeza dengan Flip3

Pengkhabar berita teknologi TechTalkTV telah berkongsi beberapa gambar dan video yang didakwanya menunjukkan rekaan luaran untuk telefon lipat Samsung Galaxy Z Flip4.

Jika dilihat pada gambar ini, Galaxy Z Flip4 tidak mempunyai sebarang perbezaan ketara dengan Galaxy Z Flip3 yang dilancar pada tahun lalu. Ia masih mempunyai dua kamera di belakang yang diletakkan di sebelah skrin luaran, manakala skrinnya pula mempunyai dimensi yang hampir sama dengan kamera swafoto dalam lubang tebuk yang sangat kecil.

Kesan lipatan skrin pula tidak begitu jelas dalam gambar ini, jadi Samsung mungkin telah berusaha untuk mengurangkan kesan lipatan berbanding dalam skrin Flip3 yang lalu. Selain itu, saiz engsel juga telah dikecilkan dan ruang di antara skrin apabila ia dilipat juga masih kelihatan jelas.

Jika Flip4 menampilkan rekaan yang serupa dengan Flip3, ini bukanlah sesuatu yang menghairankan untuk Samsung. Sebelum ini, rekaan telefon lipat Samsung Galaxy Z Fold3 adalah hampir serupa dengan Galaxy Z Fold2 yang dilancar pada tahun sebelumnya, manakala Samsung Galaxy S22 juga menampilkan rekaan serupa dengan Samsung Galaxy S21.

Galaxy Z Flip4 dikhabarkan bakal mempunyai kapasiti bateri yang lebih besar, selepas ramai pengguna mengatakan kelemahan utama pada Flip3 adalah baterinya yang kecil. Spesifikasi lain yang dikhabarkan termasuklah skrin utama AMOLED 120HZ 6.7 inci, skrin luaran sAMOLED 2.1 inci, cipset Snapdragon 8+ Gen 1, kamera utama 12MP dan kamera ultra-lebar 12MP.

Telefon lipat ini dijangka akan dilancar pada bulan Ogos 2022. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Galaxy Z Flip4 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version