Site icon TechNave BM

Rekaan Samsung Galaxy Z Flip5 tertiris, tampilkan skrin luaran lebih besar berbanding Z Flip4

Telefon lipat clamshell Samsung Galaxy Z Flip4 mempunyai rekaan yang tidak banyak berbeza dengan Galaxy Z Flip3 dan mungkin telah mengecewakan segolongan peminat Samsung. Walau bagaimanapun, rekaan untuk telefon seterusnya, Samsung Galaxy Z Flip5, kini telah tertiris dan menunjukkan perbezaan yang agak ketara berbanding Galaxy Z Flip4.

Berdasarkan gambar-gambar awal yang diperolehi oleh @OnLeaks, Samsung Galaxy Z Flip5 bakal mempunyai skrin luaran yang lebih besar berbanding Galaxy Z Flip4, iaitu dengan skrin berukuran 3.4 inci. Pada waktu ini, Galaxy Z Flip4 hanya mempunyai skrin luaran berukuran 1.9 inci.

Ini akan menjadikannya serupa dengan OPPO Find N2 Flip yang turut mempunyai mekanisme lipatan clamshell, namun dengan skrin luaran berukuran 3.26 inci. Skrin luaran yang besar ini memudahkan pengguna untuk melihat notifikasi dan mengambil gambar tanpa perlu membuka skrin utama.

Skrin lipat utama pada Galaxy Z Flip5 bakal mengekalkan ukurannya iaitu 6.7 inci apabila dibuka. Ukuran keseluruhannya pula adalah 165 x 71.8 x 6.7mm, menjadikannya lebih kecil sedikit berbanding Galaxy Z Flip4.

Selain itu, Galaxy Z Flip5 masih mempunyai dua kamera di belakang. Setakat ini masih tiada maklumat mengenai spesifikasi untuk telefon ini, namun kita boleh jangkakan bahawa ia akan dilengkapi cipset Snapdragon 8 Gen 2 memandangan telefon lipat Samsung selalunyai dilengkapi spesifikasi yang tercanggih.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Media Peanut

Exit mobile version