fbpx
More

    Ulasan OPPO Find N2 Flip – Engsel “solid” dan skrin penutup lebih besar!

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran telefon pintar boleh lipat semakin meningkat dengan Samsung memacu telefon fleksibel ke dalam pasaran utama. Pada tahun 2022 ia mula berubah dengan Motorola dan kini OPPO memberanikan diri untuk bersaing dengan Samsung dalam segmen telefon boleh lipat dengan melancarkan OPPO Find N2 Flip.

    Setelah menggunakan hampir dua minggu OPPO Find N2 Flip, saya telah menemui beberapa ciri yang menarik dan menjadi titik jualan utama untuk peranti ini. Tetapi sebelum itu, terima kasih kepada OPPO kerana memberi peluang untuk saya menguji peranti ini dan unit saya terima berwarna hitam atau nama rasminya ialah Astral Black.

    Pakej yang anda akan dapat jika membelinya

    Saya bernasib baik menerima unit dengan kemasan Astral Black kerana permukaannya yang bertekstur nano matte dan mudah untuk digenggam. Jika dibandingkan dengan warna Moonlit Purple, ia memiliki kemasan berkilau pada bahagian belakang dan licin. Jadi, mari kita baca ulasan lebih lanjut mengenai telefon boleh lipat OPPO ini!

    Reka Bentuk – Skrin bahagian penutup lebih besar!

    OPPO Find N2 Flip mempunyai paparan penutup 3.26 inci pada bahagian luar yang jauh lebih besar daripada mana-mana telefon pintar boleh lipat yang lain manakala paparan utama menggunakan panel AMOLED 120Hz 6.8 inci. Secara logiknya, lebih besar skrin bahagian penutup, lebih banyak ciri praktikal boleh digunakan pada paparan tersebut.

    Saya rasa OPPO benar-benar bijak dengan reka bentuk keseluruhan Find N2 Flip ini. Ia mempunyai reka bentuk tiada jurang di mana tiada ruang antara skrin apabila peranti dilipat sepenuhnya. Bunyinya seperti perkara kecil, tetapi ia kelihatan lebih kemas secara keseluruhan dan membantu menghalang pelbagai habuk atau benda asing daripada masuk ke dalam celah lipatan.

    Skrin penutup yang besar!

    Apabila telefon dalam keadaan dilipat, hampir separuh daripada bahagian penutup hadapan mempunyai skrin pelbagai fungsi dengan dua kanta kamera menonjol yang disusun secara menegak pada bahagian tepi. Jika dilihat dari sisi, anda mungkin tidak dapat membezakannya dengan Galaxy Z Flip.

    Engsel yang digunakan bernama Engsel Fleksi Generasi Baharu dan ia merupakan versi mekanisme Find N2 disesuaikan untuk telefon yang lebih kecil. Ia telah dinilai untuk 400,000 kali lipatan dan boleh menyokong telefon pada sebarang sudut antara 45 dan 110 darjah menjadikan kamera seperti mod tripod, penangkapan paras pinggang atau mod camcorder.

    Untuk bahagian engsel, saya merasakan kualiti binaannya sangat baik dan bunyi ketika melipatnya juga mengagumkan. Namun, agak sedikit susah untuk membuka telefon ini menggunakan sebelah tangan kerana mekanismenya sedikit ‘ketat’. Oleh itu, saya terpaksa menolak kuat sedikit jari untuk diselitkan dan barulah boleh membuka telefon ini.

    Tambahan, kedutan lipatannya juga tidak kelihatan jika menggunakannya dengan skrin yang menyala. Namun, apabila skrin dipadamkan, kedutan tersebut boleh nampak jika anda mengubah sudut pandangan. Mengikut pengamatan saya, kedutan lipatan pada OPPO Find N2 Flip lebih minimal berbanding Samsung Galaxy Z Flip4.

    Kedut lipatan terlihat dalam beberapa sudut

    Spesifikasi – Luar comel, dalam garang

    Ini adalah spesifikasi lengkap OPPO Find N2 Flip:

    • Cipset: Mediatek Dimensity 9000+ (4 nm)
    • Paparan utama AMOLED boleh lipat 6.8 inci, segar semula 120Hz, HDR10+, 1600 nits (puncak), resolusi 1080x2520px, nisbah bidang 21:9, 403ppi
    • Paparan penutup AMOLED 3.26 inci, Corning Gorilla Glass, 250 PPI, 900 nits (puncak)
    • Memori RAM 8GB, storan UFS 3.1 256GB
    • Kamera utama Sony IMX890 50 MP, f/1.8, 23mm, PDAF, kamera ultra lebar 8 MP, f/2.2, 112˚
    • Kamera swafoto Sony IMX709 32 MP, f/2.4, 22mm (lebar), AF
    • Bateri berkapasiti 4,300mAh dengan sokongan pengecasan 44W
    • Ukuran badan: 166.2×75.2×7.5mm, berat 191g.
    • Pengimbas cap jari pada bahagian sisi, pembesar suara stereo, Android 13, ColorOS 13
    • Warna: Astral Black, Moonlit Purple
    • Harga: RM3,999

    Cipset yang digunakan mungkin dibuat oleh jenama yang agak kurang dikenali berbanding Qualcomm tetapi jangan tersalah andai kerana cipset yang digunakan pada telefon ini tidak kurang hebatnya sama seperti cipset andalan Snapdragon.

    OPPO bekerjasama dengan Mediatek dan telah memilih platform Dimensity 9000+ yang merupakan cipset yang sama yang terdapat pada ROG Phone 6D Ultimate. Ia mencatatkan kelajuan yang lebih perlahan tetapi mampu untuk menyampaikan pengalaman yang lancar, pantas dan responsif terutama apabila digabungkan dengan paparan 120Hz.

    Terdapat paparan sentiasa hidup dengan banyak gaya jam yang berbeza, pilihan warna, tarikh dan pemberitahuan pada skrin penutupnya. Ia juga mempunyai pilihan untuk haiwan peliharaan interaktif yang hidup pada skrin kunci. Anda boleh memilih antara lima haiwan dan mereka akan melakukan sesuatu yang berbeza setiap kali anda mengaktifkan skrin.

    Menyentuh haiwan itu akan menyebabkan ia bertindak balas dalam beberapa cara. Find N2 Flip menjalankan ColorOS berdasarkan Android 13. Pada acara pelancaran antarabangsa telefon itu, OPPO menjanjikan 4 tahun kemas kini utama dan 5 tahun kemas kini keselamatan.

    Prestasi – MariSilicon menunjukkan kuasanya

    Seterusnya, mari kita lihat prestasi yang ditawarkan oleh OPPO Find N2 Flip melalui ujian penanda aras 3DMark Wild Life Stress dan Geekbench 5.

    Untuk gaming, telefon ini tiada masalah untuk memainkan game PUBG Mobile dan Mobile Legends pada tetapan yang tinggi. Namun, selepas beberapa ketika bermain game, saya dapat merasakan kehangatan pada bahagian belakang. Ia adalah normal kerana telefon ‘bekerja’ untuk memastikan kestabilan kadar bingkai.

    Antara muka nampaknya beroperasi dengan mudah ketika menatal kandungan atau aplikasi telefon. OPPO berkata keseluruhan reka bentuk dalaman telah diubah suai dan dioptimumkan untuk memastikan ia boleh dimuatkan dalam bateri bersaiz besar. Hasilnya, Find N2 Flip menawarkan kapasiti yang lebih besar berbanding Galaxy Z Flip (3700mAh), Moto Razr 2022 (3500mAh) atau HUAWEI P50 Pocket (4000mAh).

    Find N2 Flip ditetapkan untuk menyokong pengecasan sehingga 44W tetapi palam pengecas yang disertakan di dalam kotak adalah berkuasa 67W. Ia mengambil masa hampir sejam untuk mengecas sepenuhnya dan ini sesuatu yang saya rasa perlu diperbaiki kerana kebanyakan telefon sekarang mengambil masa hanya 30 minit untuk mengecas penuh.

    Palam pengecas yang disertakan

    Berdasarkan ujian bateri yang saya lakukan, saya mendapati telefon bertahan sekitar 15 jam dengan penggunaan seharian dan masih mempunyai baki sekitar 10%. Salah satu kekurangan telefon boleh lipat ialah jika anda mahukan bentuk reka bentuk seperti ini maka anda perlu menerima hakikat bahawa ia mempunyai kapasiti bateri yang kecil.

    Namun, saya tidak menghadapi masalah daripada segi ketahanan bateri untuk penggunaan sepanjang hari. Telefon lipat cenderung untuk tidak menfokuskan pada bahagian kamera memandangkan keterbatasan ruang fizikal dan perkara yang sama dihadapi OPPO Find N2 Flip. Peranti ini dilengkapi kamera utama Sony IMX890 50MP dan ultra lebar 8MP.

    Walaupun terdapat juga kamera swafoto pada lubang tebuk bahagian tengah atas skrin, anda mungkin tidak perlu menggunakannya. Saya menggunakan kamera utama untuk swafoto berbanding kamera swafoto yang tersedia pada bahagian dalam. Sejujurnya, saya hampir terlupa yang telefon ini mempunyai kamera swafoto.

    Mengapa perlu menggunakan kamera swafoto sedangkan anda boleh menggunakan kamera 50MP utama yang lebih cantik. Kamera utama menjalankan tugasnya dengan cukup baik dengan menghasilkan imej terperinci. Malah, dalam keadaan malap kameranya masih menangkap gambar dengan baik di mana gambar yang tersebut kurang noise dan semulajadi.

    imej pada waktu malam

    Saya tidak mahu membandingkan kecekapan kamera Samsung Galaxy S23 Ultra dalam senario cahaya malap tetapi OPPO dan teknologi MariSilicon melakukan tugas yang cemerlang. Malangnya perkara yang sama tidak berlaku pada kamera sudut lebar. Kualiti yang dihasilkan tidak berapa baik dengan imej yang dihasilkan agak kurang tajam.

    Imej ultra lebar

    Bukan tidak boleh digunakan sama sekali, tetapi tangkapan sudut lebar tidak sama standard dengan kamera utama. Di bawah terdapat beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan OPPO Find N2 Flip.

    Kesimpulan – Pesaing utama Galaxy Z Flip4

    Bagi mereka yang sedang mencari telefon boleh lipat dengan bateri yang besar dalam segmen tersebut, telefon ini sesuai untuk anda. Tambahan, OPPO dapat mengubah tanggapan pengguna mengenai jenamanya dengan kehadiran OPPO Find N2 Flip yang benar-benar membuka mata saya.

    Jika anda inginkan pilihan telefon boleh lipat selain OPPO Find N2 Flip ini, anda boleh membandingkannya dengan Samsung Galaxy Z Flip4 yang berharga RM4,099 atau HUAWEI P50 Pocket dengan harga yang jauh lebih mahal iaitu RM5,999. Dengan harga RM3,999, OPPO Find N2 Flip merupakan telefon boleh lipat paling murah di Malaysia.

    Jika anda mementingkan kualiti, anda tidak perlu risau dengan telefon ini. Seperti yang saya katakan, pembuatannya solid dan berbaloi dengan setiap ringgit yang anda keluarkan. Namun, adakah anda betul-betul memerlukan telefon lipat untuk menjimatkan ruang dalam poket atau mementingkan gaya?

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X